OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Dendam dipercayai punca. Petrol ditemukan di lokasi rumah terbakar dua rentung

Dendam dipercayai punca. Petrol ditemukan di lokasi rumah terbakar dua rentung

ALOR SETAR: Kebakaran yang menyebabkan seorang lelaki warga emas dan anak angkatnya ditemukan rentung di sebuah rumah di Tongkang Yard, semalam kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan mengikut Seksyen 302 diputuskan selepas siasatan polis bersama bomba menemukan petrol yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, polis sudah menahan lima suspek termasuk anak saudara mangsa yang juga suspek utama kejadian beberapa jam selepas kejadian.

Semua suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun termasuk seorang daripadanya lelaki warga Myanmar yang turut menghuni rumah berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati tiga daripada lima suspek yang ditahan positif dadah Methamphetamine," katanya pada sidang media hari ini.

Fisol berkata, polis menahan semua suspek berdasarkan laporan dibuat mangsa sehari sebelum kejadian selain penemuan minyak petrol di lokasi kejadian.

"Kedua-dua mangsa berusia 61 dan 23 tahun yang sudah dikenal pasti identiti mereka, ketika kejadian tidur di bilik tingkat atas rumah," katanya.

Fisol berkata, siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian.

Lebih menguatkan siasatan apabila mangsa berusia 61 tahun membuat laporan polis sehari sebelum kejadian berlaku kerana telefon bimbitnya dilarikan suspek (anak saudaranya).

"Bagaimanapun, laporan itu ditarik semula tidak lama kemudian sebelum kejadian kebakaran kediaman itu," katanya.

Fisol bagaimanapun memaklumkan punca dendam itu masih disiasat pihaknya.

Daripada lima suspek ditahan, tiga daripada mereka terbabit secara langsung dalam kejadian itu dengan seorang membantu menyerahkan kunci pendua kediaman itu kepada suspek utama.

Media semalam melaporkan, seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran.

Bomba menerima panggilan kecemasan jam 6.57 pagi semalam.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search