Homestay ranap akibat tanah runtuh di Kundasang
- Admin UKK
- Berita
RANAU: Sebuah homestay di Kundasang, di sini, ranap akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat, hari ini.
Kejadian berlaku jam 5.30 petang bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa berikutan tiada penghuni ketika kejadian berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.32 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan pasukan bomba mengambil tindakan memantau keadaan.
"Pasukan bomba turut menasihatkan penduduk di sekitar untuk berpindah ke tempat selamat," katanya.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Ranau turut berada di lokasi kejadian.