OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penduduk buntu masalah banjir 30 tahun belum selesai

Penduduk buntu masalah banjir 30 tahun belum selesai

Beruas: Sungai Beruas yang semakin cetek didakwa menjadi punca banjir kerap melanda Kampung Kasi di sini.

Seorang penduduk, K Paramasivam, 52, berkata, masalah itu perlu ditangani segera memandangkan kampung berkenaan kini kerap dilanda banjir setiap kali hujan lebat sehingga mengganggu kehidupan mereka.

"Dalam dua minggu ini sahaja sudah dua kali rumah saya dimasuki air, kali ini pun sama dengan air naik agak tinggi daripada kebiasaan. Malah lebih teruk apabila berlaku banjir 'termenung' yang kita sendiri tak tahu bila akan surut.

"Perkara ini bukan baharu, sudah berlaku sejak 30 tahun lalu dan kami penduduk kampung berharap pihak berkaitan, terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) lakukan penyelenggaraan secara lebih sistematik agar kejadian tidak berulang," katanya semalam.

Paramasivam antara mangsa banjir daripada enam keluarga yang terjejas selepas kampung itu dinaiki air akibat hujan lebat sejak awal pagi kelmarin.

Seorang lagi penduduk, M Indran, 49, berkata, aliran air yang turut membawa pasir menyebabkan Sungai Beruas semakin cetek dan menjadi punca banjir sering berlaku di kampung itu.

"Parit buatan juga tidak diselenggarakan menyebabkan banyak tanah yang runtuh. Apabila air Sungai Beruas naik, parit buatan tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

"Jadi, kami mohon pihak berwajib supaya bantu kami menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan selama puluhan tahun, kebanyakan penduduk yang terjejas adalah dalam kalangan warga emas," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baharu Azman Noh berkata, keadaan banjir termenung bukan sahaja membabitkan Kampung Kasi, tetapi juga Kampung Padang Serai, Matang Acheh termasuk Pengkalan Damar.

Beliau berkata, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Beruas menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) mampu menyelesaikan masalah banjir termenung yang berlarutan sejak sekian lama.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search