Banyak jambatan balak dan pembetung di Baram perlu diganti baharu: Uggah
- Admin UKK
- Berita
MIRI: Terdapat banyak jambatan balak dan pembetung di sepanjang bekas jalan balak di hilir, tengah dan ulu Baram memerlukan penggantian segera.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
"Dengan syarikat konsesi pembalakan mengecilkan semula operasi, mereka tidak lagi mengekalkannya jambatan yang membawa kepada konsesi mereka, dan ini telah meninggalkan banyak komuniti tanpa akses selamat kepada perkhidmatan penting," ujarnya.
Beliau berkata demikan dalam teks ucapan perasmian majlis penyerahan Jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Depoh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bekenu, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS diwakili oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN N.78 Mulu Datuk Gerawat Gala yang turut membacakan ucapan beliau.
Uggah berkata, penggantian jambatan di Sungai Bale hanyalah satu daripada banyak isu infrastruktur kritikal yang dihadapi dalam kawasan Baram.
Beliau berterima kasih kepada NADMA dan Profaz Maju Niaga Sdn Bhd atas maklum balas segera mereka dalam membekalkan dan penghantaran komponen jambatan itu yang kini ditempatkan sementara di Depoh JKR Bekenu.
Jambatan keluli itu akan dipasang di Kampung Long Banga, Daerah Marudi bagi menghubungkan laluan yang terputus akibat bencana banjir pada pertengahan 2024.
Beliau turut berterima kasih kepada Lembaga Pelabuhan Miri, Polis Diraja Malaysia Miri, JKR Miri dan semua pihak yang terlibat atas usaha mereka dalam memastikan peralihan lancar kontena dari pelabuhan ke JKR Depoh Bekenu pada 6 Januari lalu.
Komponen jambatan dihantar menggunakan sebanyak 12 kontena bersaiz 40 kaki dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Miri.
Bagi memastikan pemasangan jambatan yang pantas dan selamat, seramai 22 kakitangan akan dihantar ke JKR Putatan, Sabah dari 13 hingga 19 Januari ini untuk menjalani latihan.
"Memandangkan kita menjangkakan pemasangan lebih banyak jambatan pada masa hadapan, latihan ini adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kecekapan berterusan infrastruktur kita," jelas beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pembelian jambatan itu adalah sebahagian daripada langkah memperkukuhkan aset logistik dan kesiapsiagaan bencana negara.
Menurutnya, ia dapat menangani situasi kecemasan yang memerlukan penyelesaian pantas sekiranya terdapat kerosakan infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya.
Inisiatif ini katanya, sekali gus dapat mempercepatkan proses normalisasi semula keadaan selepas bencana.
Dengan penyerahan Jambatan Bailey oleh NADMA itu, diharapkan dapat membantu memperkuatkan infrastruktur sokongan bencana di Sarawak, terutamanya di kawasan terdedah risiko bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) dan Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Buckland Bangik, Residen Miri Galong Luang, Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak Wisil Lichok dan Jurutera Bahagian Miri Stephen Ung.