Daikin Malaysia hulur sumbangan RM150,000 ringan beban mangsa banjir di Pantai Timur
- Admin UKK
- Berita
SUNGAI BULOH: Daikin Malaysia Sdn Bhd menerusi Pertubuhan Bulan Sabit Merah (PBSM) menghulurkan bantuan sebanyak RM150,000 bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.
Naib Presiden Pengeluaran Daikin Malaysia, Tan Yong Cheem, berkata sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Daikin Malaysia yang berterusan dan menunjukkan komitmen mendalam syarikat untuk membantu komuniti menghadapi kesusahan.
Katanya, pihaknya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan PBSM untuk membantu mangsa banjir kerana ia menunjukkan usaha mereka untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Di Daikin, kami komited membantu komuniti yang memerlukan terutama mangsa banjir dalam kejadian baru-baru ini hingga menyebabkan ramai keluarga kehilangan tempat tinggal dan dalam kesusahan.
"Kami berharap sumbangan ini akan membantu meringankan beban mereka termasuk dalam menyediakan makanan, air bersih, bantuan perubatan dan barangan keperluan lain," katanya pada Majlis Penyampaian Cek di ibu pejabat Daikin Malaysia di Sungai Buloh.
Yong Cheem yang mewakili Daikin Malaysia menyampaikan cek itu kepada Setiausaha Agung PBSM, Tuan Haji Hakim Hamzah.
Hargai sokongan korporat
Sementara itu, Hakim berkata, pihaknya amat menyokong usaha syarikat korporat yang berusaha membantu mangsa banjir yang melanda negara.
Katanya, pihaknya amat berterima kasih atas sokongan Daikin Malaysia yang tepat pada masanya kerana bencana banjir telah menyebabkan kesukaran ketara kepada ramai mangsa.
"Dengan setiap bantuan diterima mangsa banjir, tidak kira apa jenis bantuan, ia sudah tentu membantu membuat perubahan dalam kehidupan mereka yang terjejas.
"Usaha oleh Daikin Malaysia dan syarikat korporat lain dalam menghulurkan sumbangan seperti ini sudah pasti akan membantu mereka membina semula kehidupan yang terjejas," katanya.