Coway hulur RM300,000 bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Syarikat pengeluar kelengkapan rumah dari Korea, Coway tampil menghulurkan bantuan RM300,000 buat komuniti yang terjejas oleh banjir kilat, baru-baru ini.
Langkah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Coway untuk membantu masyarakat yang terjejas terutamanya di kawasan paling terkesan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah serta negeri-negeri lain.
Sumbangan itu disalurkan menerusi kerjasama bersama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) dengan inisiatif untuk menyalurkan bantuan serta-merta kepada lebih 40,000 isi rumah, membabitkan hampir 137,000 mangsa banjir.
Usaha bantuan ini juga diperluaskan ke 45 pusat komuniti di kawasan terjejas dengan menyediakan sumber dan sokongan penting untuk membantu keluarga serta komuniti setempat dalam proses pemulihan.
Antara bentuk bantuan yang disediakan adalah barangan keperluan asas seperti makanan, produk kebersihan dan peralatan mencuci seperti mesin penyembur air tekanan tinggi, mop, pembasmi kuman dan penyental lantai bagi membantu isi rumah dalam proses pembersihan kediaman serta kawasan persekitaran mereka.
Dengan kepakaran BSMM dalam pengurusan bencana dan rangkaian sukarelawan yang meluas, kerjasama ini akan memastikan sumbangan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Bantuan ini termasuk bekalan makanan, tempat tinggal sementara dan beberapa keperluan asas lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Coway Malaysia, Kyle Choi berkata, kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan mereka.
"Kami berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup melalui produk, namun pada masa yang sama, kami juga bertekad menjadi tulang belakang bagi masyarakat ketika sukar.
"Banjir kilat ini telah menjejaskan ramai individu dan kami berharap sumbangan ini serta kerjasama bersama Bulan Sabit Merah Malaysia, ia dapat meringankan beban serta memberikan kelegaan yang amat diperlukan kepada keluarga yang terjejas." katanya.
Sebagai syarikat yang komited kepada tanggungjawab sosial, Coway berjanji akan meneruskan usaha ini bagi memastikan rakyat Malaysia terus menerima sokongan yang mereka perlukan dalam mendepani waktu sukar.