Mangsa banjir berdepan kesan psikologi, trauma
- Admin UKK
- Berita
Bencana banjir di Kelantan khususnya di daerah Tumpat dan Pasir Mas meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan fizikal dan kesihatan mental mangsa yang berhadapan dengan bencana berkenaan.
Pakar Perundingan Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Asrenee Ab Razak, berkata trauma akibat banjir boleh me- ngakibatkan pelbagai ke- san psikologi yang memerlukan perhatian segera.
Katanya, bagi setiap satu kecederaan fizikal akibat bencana terdapat lima hingga enam kecederaan psikologi yang akan dialami mangsa.
“Antara kesan utama termasuk gangguan tidur, kebimbangan melampau, flashback kejadian banjir dan kemurungan.
“Mangsa juga cenderung mengalami perubahan tingkah laku seperti konflik interpersonal dan penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya.
Berdasarkan kajian dilakukan ketika banjir besar di Kuala Krai pada 2014 mendapati ia memberi kesan psikologi signifikan kepada penduduk yang berhadapan bencana itu.
“Hasil kajian menunjukkan 38.3 peratus golongan dewasa mengalami trauma psikologi, manakala 41.29 peratus warga emas menunjukkan gejala kemurungan dan 16.9 peratus dalam kalangan remaja mengalami tanda trauma signifikan.
“Bagaimanapun, petugas banjir juga tidak terkecuali mengalami kesan emosi dengan 12.5 peratus daripada mereka menghadapi gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan 18.1 peratus menunjukkan gejala kemurungan.
“Justeru, intervensi awal melalui bantuan psikologi atau Psychological First Aid (PFA) sangat penting untuk mengelak masalah kesihatan mental seperti PTSD dan membantu mangsa bangkit semula dengan sokongan komuniti,” katanya.