Malaysia berpotensi dilanda gempa kuat, tapi sukar diramal
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Potensi untuk gempa bumi kuat melanda negara sentiasa ada, namun menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) kejadian itu sukar diramal.
Ketua Pengarah Metmalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata sehingga kini belum ada lagi teknologi yang mampu meramalkan kejadian gempa bumi di seluruh dunia.
Katanya, secara am kemungkinan untuk terjadinya gempa bumi kuat sentiasa ada, namun tidak dapat diramal.
“Metmalaysia melalui pencerapan stesen seismik yang dipasang di seluruh negara mampu untuk mengesan kejadian gempa bumi dan memberikan maklumat dari segi kekuatan, lokasi dan kedalaman gempa terbabit kepada orang ramai.
“Sabah mempunyai beberapa garis sesar aktif menyebabkan negeri ini lebih kerap mengalami gempa bumi dengan skala yang lemah kecuali satu skala yang kuat dengan magnitud 6.0 berlaku di Ranau pada 5 Jun 2015 lalu,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas risiko ancaman gempa bumi kepada Malaysia, khususnya di Sabah susulan dua hari berturut-turut negeri itu dilaporkan mengalami gempa bumi, minggu ini.
Isnin lalu, gempa bumi lemah 2.8 magnitud dilaporkan berlaku di Ranau pada 2.56 petang diikuti
kelmarin pada kekuatan 3.1 magnitud pada jam 10.01 pagi. Kejadian gempa pada 2015. Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, gempa bumi pada 5 Jun 2015 lalu menyebabkan kerosakan struktur sekitar Ranau dan kehilangan nyawa pendaki dan malim gunung.
Dalam pada itu, katanya, Metmalaysia sentiasa memantau dengan rapi aktiviti gempa bumi yang berlaku dalam negara melalui Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional di ibu pejabat, sepanjang masa.
“Kami akan memaklumkan sebarang kejadian gempa bumi kepada orang awam,” katanya.