OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Komitmen bersama jaga kebersihan mampu cegah bencana alam ekstrem

Komitmen bersama jaga kebersihan mampu cegah bencana alam ekstrem

Dunia sedang mengalami perubahan cuaca menyebabkan fenomena bencana alam ekstrem. Banjir semakin kerap melanda banyak negara, termasuk Malaysia menjadi petanda jelas keseimbangan ekosistem sedang tergugat.

Kejadian ini bukan sekadar fenomena semula jadi tetapi turut didorong tindakan manusia merosakkan alam sekitar. Kesan banjir tidak hanya terbatas kepada kemusnahan harta benda dan infrastruktur, tetapi memberikan impak besar terhadap kehidupan sosial, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Kebanyakan kejadian banjir kini dipengaruhi perubahan drastik dalam pola cuaca akibat perubahan iklim global. Pemanasan bumi diakibatkan pelepasan gas rumah kaca meningkatkan kadar penyejatan, menghasilkan hujan lebih lebat dan kerap.

Dalam konteks Malaysia, kawasan bandar pesat membangun sering menghadapi banjir kilat akibat saliran tidak mencukupi dan perancangan bandar kurang efektif walaupun pemerintah sudah melakukan apa yang terdaya mencegahnya.

Penebangan hutan secara meluas juga menghapuskan kawasan tadahan air semula jadi, menyebabkan tanah kehilangan keupayaan untuk menyerap air hujan.

Antara isu utama manusia sering kali terlepas pandang ialah akibat pencemaran alam, khususnya pencemaran sampah, menambah teruk banjir.

Apabila hujan atau angin bertiup, serpihan plastik dengan mudah dibawa melalui saluran air dan longkang. Sungai yang dulunya arus air semula jadi kini bertukar menjadi ‘lebuh raya plastik’.

Masalah ini semakin rumit apabila plastik mencemari sungai dan kawasan tadahan mengganggu keseimbangan ekosistem air. Selain mencetuskan banjir, pencemaran ini juga memusnahkan habitat semula jadi hidupan akuatik.

Kesannya, bukan sahaja risiko banjir meningkat, tetapi sumber semula jadi penting turut terancam. Dalam situasi ini, keperluan untuk menjaga dan melestarikan alam semakin mendesak.

Didik kepentingan urus sisa

Dalam menghadapi cabaran ini, penjagaan alam sekitar tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan, tetapi mesti menjadi tanggungjawab bersama. Kawasan hijau berfungsi sebagai penampan semula jadi wajib dipelihara.

Sementara itu, pengurusan sisa pepejal memerlukan perhatian serius. Masyarakat perlu dididik mengenai kepentingan menguruskan sisa dengan betul, termasuk kitar semula dan pengurangan penggunaan plastik.

Mungkin kita memerlukan sistem pengumpulan sisa baharu lebih efisien dan pelaksanaan undang-undang lebih tegas terhadap penyebab pencemaran dan pembuangan sampah secara haram.

Pembangunan infrastruktur mampan perlu menjadi keutamaan. Justeru, pendekatan holistik membabitkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan masyarakat amat diperlukan untuk menangani isu banjir dan pencemaran alam sekitar.

Kerajaan mesti memimpin dengan dasar yang tegas dan membuat pelaburan strategik dalam teknologi hijau serta tenaga boleh diperbaharui. Usaha ini memerlukan sokongan sektor swasta yang mampu mencipta inovasi mesra alam dan mengamalkan perniagaan lestari.

NGO boleh menjadi penggerak meningkatkan kesedaran rakyat, menyelaras bantuan teknikal dan mendekati komuniti terkesan. Semua ini menuntut keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa dan mengutamakan kelangsungan bumi kita.

Perubahan sebenar bermula pada akar umbi. Masyarakat setempat tidak boleh menormalisasikan aktiviti pencemaran alam mahupun rasa selasa atau tidak tersentuh dengan aktiviti kerosakan alam. Usaha bersama ini bukan sahaja mengurangkan risiko bencana, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk masa depan lestari.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search