AMARAN KENAIKAN PARAS LAUT
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran kenaikan paras laut yang berisiko mengakibatkan limpahan air laut di pesisir pantai di beberapa negeri.
Situasi itu diramal menjejaskan kawasan di Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak dengan keadaan itu dijangka berlarutan hingga Selasa depan.
MetMalaysia juga meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah Timur dijangka berlarutan bagi tempoh sama.
Keadaan itu katanya, boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai sehingga 3.5 meter dengan ia berbahaya kepada bot kecil.
“Angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5m dijangka membadai perairan Sarawak hingga Selasa depan dengan ia berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan, termasuk pekerja di pelantar minyak.
“Angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 m dijangka berlaku di perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah Barat dan Labuan bagi tempoh sama.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil serta rekreasi dan sukan laut,” katanya, semalam.
MetMalaysia juga mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka membadai perairan Selat Melaka, barat daya Samui, Tioman, Condore, Bunguran, utara dan selatan South, Layang-Layang, Labuan, Palawan, Sulu, Sulawesi hingga jam 2petang ini.
Keadaan itu katanya, boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m, selain berbahaya kepada bot kecil.
“Angin kencang timur laut berkelajuan antara 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m dijangka di perairan barat Samui, Sulu hingga Selasa depan, yang berbahaya kepada bot kecil serta rekreasi dan sukan laut.
“Angin kencang timur laut berkelajuan antara 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m dijangka di perairan timur Samui, Tioman, Labuan, selatan Bunguran, Palawan hingga Selasa depan.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.