Lencongan sementara dibina di kawasan lubang benam jalan Gua Musang-lojing
- Admin UKK
- Berita
Gua Musang: Pengguna jalan raya dari Gua Musang ke Cameron Highlands boleh menggunakan laluan Sungai Koyan-ringlet-cameron Highlands susulan penutupan jalan di Kilometer (KM) 78 Gua Musang-lojing, sejak kelmarin.
Laluan di KM78 Jalan Gua Musang-lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah mendap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pembinaan lencongan sementara juga akan dilaksanakan oleh Roadcare (M) Sdn Bhd (RCSB) dengan segera untuk kegunaan pengguna laluan terbabit.
“Dalam situasi cuaca buruk terutama di Pantai Timur, ia menyumbang kerosakan jalan raya di beberapa kawasan.
“Terbaharu, kejadian jalan mendap di KM78 Jalan Lojing-gua Musang berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke.
“Kerosakan itu menyebabkan jalan terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula semalam sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Tindakan ini perlu diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya di laluan itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, menyeru semua pihak supaya mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kelmarin media melaporkan Laluan di KM78 Jalan Gua Musang-lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata laluan itu ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah hingga arahan baharu dikeluarkan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).