12,852 tan sisa bah dibersih di 7 negeri
- Admin UKK
- Berita
Alor Setar: Sebanyak 12,852.18 tan sisa banjir di tujuh negeri dibersihkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Swcorp) sejak 28 November hingga 11 Disember lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata jumlah itu membabitkan 45 tempat, iaitu 22 kawasan perkhidmatan dan 23 kawasan yang luar dari kawasan perkhidmatan yang terjejas akibat banjir.
Beliau berkata, sebanyak 153 unit jentera turut digunakan dengan membabitkan bantuan pekerja seramai 362 orang.
“Operasi pembersihan untuk tujuh negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 akan dikuatkuasakan melalui SW Corp dan bersama rakan-rakan konsesi.
“Kedah dan Pahang negeri yang terkesan buat masa ini. Walaupun Kelantan tidak termasuk dalam senarai asal, kami tetap membantu di Tumpat,” katanya selepas meninjau pembersihan dan dan pengurusan pasca banjir di Taman Aman, di sini, semalam.
Bersih sampah pukal
Sementara itu Aiman Athirah berkata, di Kedah saja sebanyak 730 tan sisa banjir dibersihkan dan dihantar ke tapak pelupusan Jabi, Pokok Sena dalam operasi sejak 30 November lalu.
“Banjir yang melanda pada 26 November lalu menyebabkan pengumpulan lumpur dan longgokan sampah pukal di kawasan kediaman.
“Swcorp Kedah sudah pun mengambil tindakan segera dengan menggerakkan jentera pembersihan syarikat konsesi dengan membersihkan longkang dan sampah pukal serta dibantu pelbagai pihak,” katanya.