Maran daerah pertama kena gelombang kedua
- Admin UKK
- Berita
Maran menjadi daerah pertama di Pahang dilanda banjir gelombang kedua apabila seramai 45 mangsa dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejurus kawasan penempatan mereka ditenggelami banjir sejak malam kelmarin.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan, seramai 18 mangsa berada di PPS Tetap Luit manakala tujuh mangsa berada di PPS Kampung Baru Sungai Chedong, 15 mangsa di PPS Kampung Ulu Luit dan lima mangsa di Surau Bukit Kuin.
Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai masing-masing satu di daerah Kuantan, Maran dan Lipis melepasi paras bahaya bermula jam 8 pagi semalam.
Ia membabitkan Sungai Belat, di Sri Damai di sini, Sungai Lui di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis,
Lima sungai pula melepasi paras amaran adalah Sungai Kuantan di Bukit Kenau di sini, Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai tembeling di Kampung Merting, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub dan Sungai Belat di Jambatan Gambang, di sini.