Tunggu RTB selesai
- Admin UKK
- Berita
Kerajaan akan meneliti cadangan daripada hasil kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) untuk membina tebing tinggi di kawasan pantai bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan yang pernah dibangkitkan sekitar 20 tahun lalu itu boleh diusahakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, selesai dilaksanakan.
“Ada cadangan saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lepas, dicadangkan oleh Kerajaan Jepun iaitu projek Jica umpamanya untuk mengatasi masalah banjir di pantai barat (Malaysia) dan ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelanjaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.
“Antara lain kajian Jica untuk bina tebing-tebing tinggi di seluruh kawasan pantai. Sudah tentu ini akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai masalah tebatan banjir kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu pendekatan kerajaan dalam mengatasi masalah banjir tahunan yang menelan kos ratusan juta setiap tahun.
Pada masa ini, Anwar berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM15 bilion bagi projek RTB di seluruh negara sebagai ikhtiar untuk mengawal masalah banjir, selain menggunakan teknologi terkini bagi meramal cuaca
Kerajaan memperuntukkan hampir RM15 bilion bagi projek RTB di seluruh negara untuk dimaklumkan kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau menyedari langkah terbabit masih tidak mencukupi dan tiada negara yang dapat mengawal cuaca biarpun mereka mempunyai teknologi terbaik termasuk China, Amerika Syarikat dan Eropah.
“Tetapi, ikhtiar itu harus ada... cuma tahun ini hujan itu luar jangka, jauh lebih (banyak) iaitu (jumlah) lima hari (hujan) sama dengan enam bulan sebelumnya, jadi tertangguh hujannya, kemarau dan kemudian turun dengan banyak menyebabkan takungan dan banjir,” katanya.
Katanya, di beberapa daerah di Kelantan umpamanya, bacaan hujan mencecah lebih 1,167 milimeter (mm) dalam masa lima hari iaitu pada 26 hingga 30 November lalu dan di beberapa daerah di Terengganu pula mencatat hujan sehingga 1,761mm untuk tempoh sama.
Menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai kerosakan jalan akibat banjir, Anwar berkata, kerajaan menyediakan hampir RM1 bilion bantuan segera untuk mengatasi pelbagai kerosakan, dengan keutamaan bagi memperbaiki sekolah, hospital, jalan asas serta ganti rugi. - Bernama