Mangsa bah tujuh negeri berkurang
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 77,695 orang di tujuh negeri, setakat petang semalam.
Sehingga jam 3 petang portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan semua mangsa terdiri daripada 23,459 keluarga yang masih berlindung di 274 pusat pemindahan sementara (PPS.
Daripada jumlah itu, Kelantan masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 46,681 daripada 14,836 keluarga yang ditempatkan di 101 PPS.
Di Terengganu, seramai 21,975 mangsa daripada 5,813 keluarga dari lapan daerah yang terjejas masih mendapatkan perlindungan di 101 PPS.
Sementara di Kedah, seramai 7,123 daripada 2,251 keluarga ditempatkan di 37 PPS, manakala hanya sebuah PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga.
Johor pula mengaktifkan 22 PPS di dua daerah bagi memberi perlindungan kepada 1,096 orang daripada 312 keluarga, sementara Perak menempatkan 644 orang daripada 202 keluarga di 10 PPS.
Selain itu, dua PPS di Melaka masih dibuka bagi menempatkan 172 orang daripada 44 keluarga.