KPM pertimbang peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh
- Admin UKK
- Berita
Pasir Mas: Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbang cadangan supaya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilakukan di luar musim tengkujuh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata perkara itu akan diperhalusi dari semasa ke semasa. “Kita akan pertimbang cadangan ini kerana ini antara cadangan yang kita turut terima. Barangkali kita boleh lihat kerana ketika ini jadual SPM pada hujung tahun dan berdepan banjir.
“Perkara itu kita ambil kira dan kita akan perhalusi dari semasa ke semasa kerana ia melihatkan aspek prihatin daripada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Peperiksaan berjalan lancar
Seramai 402,956 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memulakan sesi peperiksaan bertulis bermula semalam hingga 6 Februari 2025.
KPM dalam kenyataan sebelum ini berkata, calon akan memulakan peperiksaan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan berlangsung semalam hingga Khamis ini, diikuti Ujian Amali Sains pada 9 hingga 12 Disember, manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 16 hingga 19 Disember.
Sementara itu, peperiksaan Sijil 2024 yang bermula semalam berjalan lancar di seluruh negara termasuk di beberapa negeri terjejas banjir.
Fadhlina berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan walaupun ada beberapa negeri terjejas banjir.
“Beri ruang kepada mereka semua menduduki SPM, terutama mereka yang terjejas banjir,” katanya.
Sementara itu di Johor Bahru, seramai 16 calon SPM yang terjejas banjir di Johor ketika ini menduduki peperiksaan itu seperti dijadualkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin berkata, 16 calon SPM menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Segamat.
Katanya, kerajaan negeri menyediakan rancangan alternatif bagi memastikan mereka terus menduduki peperiksaan itu.