Luruan monsun sebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) menjangkakan luruan monsun akan bermula 8 hingga 14 Disember selama seminggu yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung.
Dalam kenyataannya semalam, Metmalaysia berkata, berdasarkan analisis model cuaca terkini, penumpuan angin juga dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang ini hingga awal pagi esok.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir serta hujan lebat dalam tempoh berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Metmalaysia, Ambun Dindang memberitahu BH, Metmalaysia meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula awal bulan lalu, akan berterusan sehingga Mac tahun depan dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku sepanjang tempoh itu.
“Ketika fasa awal MTL, hujan lebat dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri lebih berpotensi untuk berlaku hujan lebat ialah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah,” katanya.
Banjir mula melanda negara sejak minggu lalu dengan dua negeri Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu dilanda banjir terburuk.
Jumlah mangsa yang dipindahkan di sembilan negeri juga mencecah lebih 150,000 beberapa hari lalu namun ia beransur berkurangan kepada kira-kira 112,000 setakat petang semalam.
Ambun juga berkata, meskipun MTL lebih sinonim dengan kawasan Pantai Timur, penduduk di negeri sekitar Pantai Barat dan selatan Semenanjung juga tidak terlepas dibadai angin luruan monsun yang berisiko menyebabkan hujan lebat serta banjir.
Katanya, antara faktor menyebabkan kawasan Pantai Barat terjejas disebabkan luruan monsun kuat yang boleh melepasi Banjaran Titiwangsa.
Keadaan itu, katanya, akan menyebabkan berlakunya pembentukan awan sehingga membawa hujan lebat di negeri sekitar kawasan itu.
Bagi negeri di selatan khususnya Johor pula, beliau berkata, faktor topografi yang rata antara punca negeri itu mendapat hujan lebat, sekali gus mengakibatkan banjir.
“Jika di Pantai Timur, negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang antara paling terjejas ketika MTL, di Pantai Barat juga tidak terlepas kerana apabila luruan monsun ini kuat, ia boleh melepasi Banjaran Titiwangsa dan bawa hujan lebat.
“Selain itu, kawasan Pantai Barat juga ada potensi mengalami banjir semasa MTL, terutama sekali apabila luruan monsun kuat dan juga angin dari kawasan tekanan rendah bergerak dari Laut China Selatan (membentuk awan tebal serta mengakibatkan hujan) dan merentasi Semenanjung ke Pantai Barat,” katanya.
Ramalan episod hujan lebat
Dalam pada itu, Ambun berkata, ramalan berlaku lima hingga tujuh episod hujan lebat sepanjang MTL berdasarkan beberapa kriteria, termasuk jumlah hujan dan luruan monsun yang dijangka berlaku.
Katanya, apabila agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu membuat ramalan, pihaknya akan mengeluarkan amaran hujan berterusan secara berperingkat.
“Kita tahu negeri berkenaan (Pantai Timur) akan sentiasa menerima hujan (sepanjang MTL), tapi dari segi kuantiti hujan itu kita akan tentukan melalui analisis yang kita buat setiap hari.
“Sepanjang MTL ini, kami di Metmalaysia akan adakan taklimat cuaca harian secara dalam talian, termasuk hujung minggu membabitkan semua negeri termasuk yang tidak terkesan MTL.
“Pegawai kami akan memberikan penjelasan dan kita akan sepakat membuat keputusan sama ada kita perlu mengeluarkan amaran ataupun sebaliknya. Kami akan putuskan dalam mesyuarat ini,” katanya.
Ditanya mengenai tarikh sebenar MTL akan berakhir, katanya Metmalaysia akan memaklumkan perkara berkenaan seminggu atau lima hari sebelum monsun berakhir.
“MTL ini kita jangka berdasarkan klimatologi, melalui data diambil daripada 30 tahun lalu.
“Kita akan tengok bila permulaan MTL dan pengakhiran monsun bagi tiap tahun dan berdasarkan rekod, MTL akan bermula November dan berakhir pada Mac,” katanya.