OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir seluruh negara mula pulih

Banjir seluruh negara mula pulih

Kuala Lumpur: Situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan trend penurunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata setakat jam 1 tengah hari semalam, jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang sebanyak 13.69 peratus kepada 561 PPS, manakala jumlah keluarga terjejas menurun sebanyak 8.7 peratus kepada 37,759 keluarga.

Beliau berkata, dua negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan dan Terengganu, turut merekodkan trend yang sama, dengan jumlah PPS yang masih beroperasi di Kelantan menurun sebanyak 11.07 peratus kepada 217 PPS, manakala jumlah keluarga yang terjejas juga berkurang sebanyak 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.

“Situasi di Terengganu juga semakin baik, dengan jumlah PPS menurun sebanyak 16.25 peratus kepada 237 PPS dan jumlah keluarga terjejas berkurang sebanyak 6.14 peratus kepada 9,990 keluarga,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Sehingga jam 6 petang semalam, jumlah keseluruhan mangsa banjir di sembilan negeri berkurang kepada 119,254 daripada 35,394 keluarga.

Bersihkan kediaman

Di Tanah Merah, Kelantan, keadaan banjir mula surut dan cuaca cerah sejak kelmarin memberi peluang kepada mangsa banjir di Tanah

Merah, untuk pulang membersihkan rumah masing-masing.

Tinjauan BERNAMA mendapati beberapa kampung seperti Kampung Padang Kijang, Kampung Manal, Kampung Bukit Kecik, Kampung Kuala Kepok yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir, kini penduduk mula kelihatan melakukan kerja-kerja pembersihan rumah.

Seorang mangsa banjir dari Kampung Padang Kijang, Azree Awang, 44, berkata dia dan isterinya Norizam Mat, 42, mengambil peluang untuk membersihkan rumah selepas air banjir mula surut.

“Air banjir surut dan cuaca cerah sejak semalam (kelmarin) membolehkan saya pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Awam Padang Kijang untuk membersihkan rumah dan peralatan lain.

“Alhamdulillah, paras air turun cepat, sebelum ini paras air naik sehingga hampir tiga meter di rumah saya menyebabkan banyak barangan tidak sempat di selamatkan,” katanya kepada Bernama semalam.

Mohd Zai Hanafi, 58, dari Kampung Kuala Kepok berkata sejak kelmarin, rata-rata penduduk di kampung terbabit pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman masing-masing selepas air mula surut.

“Saya bersama isteri Nur Asiyikin Ismail dan anak-anak sudah dua hari membersihkan rumah, basuh pakaian dan barangan rumah lain yang rosak,” katanya.

Di Kota Bharu tinjauan mendapati beberapa penduduk di Kampung Sri Kulim dan Kampung Padang Raja, Melor, di sini, mula membersihkan kawasan rumah pasca banjir yang ditenggelami air

serta selut membabitkan kerosakan perabot dan barangan elektrik.

Bagaimanapun, air masih ada pada paras hampir satu meter di laluan masuk ke kampung berkenaan dan penduduk perlu berikhtiar menggunakan jalan alternatif bagi melaksanakan aktiviti pembersihan.

Pesawah rugi RM20 juta

Di Alor Setar, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata kira-kira 4,000 hektar sawah sekali lagi ditenggelami banjir sejak Rabu lalu, menyebabkan kerugian berganda.

Katanya, banjir kali ini dijangka menyebabkan kerugian kira-kira RM20 juta apabila mereka perlu melalui proses menabur benih dan menanam sekali lagi.

Beliau mendakwa ada pesawah yang menanggung hutang tinggi kerana keputusan modal untuk memulakan tanaman musim kedua tahun ini kerana terkena banjir dua kali.

“Pada September lalu mereka tak dapat tuai dan jual hasil padi, sekarang selepas berhutang untuk tanam, sekali lagi sawah mereka terkena banjir, berganda-ganda kerugian mereka, mereka terpaksa tabur benih sekali lagi selepas ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Rashid berkata harga benih padi ketika ini adalah RM60 bagi seguni dengan berat 20 kilogram (kg) .

Katanya, setiap hektar memerlukan kira-kira lapan hingga 10 guni benih bagi memastikan hasil yang tinggi.

“Itu belum dicampur dengan kos jentera untuk membajak sawah dan upah menabur, bayangkan berapa kerugian dan modal baharu yang perlu ditanggung untuk pesawah menabur atau menanam semula padi,” katanya.

Di Perlis, hujan berterusan yang melanda negeri itu minggu lalu menyebabkan kemusnahan pada tanaman padi yang diusahakan hampir 1,000 petani di sekitar kawasan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Tambun Tulang.

Malah, kapasiti air Sungai Tambun Tulang di Terusan Arau yang melimpah sehingga memenuhi petak sawah turut menyebabkan ia tidak ubah seperti kolam renang yang besar sehingga menyebabkan kerugian mencecah hampir RM5 juta.

Situasi sama turut berlaku di kawasan penanaman padi di Kampung Bakong, Tambun Tulang apabila aliran air dari Sungai Perlis pula melimpah memasuki bendang sawah.

Di Jitra, Kedah, seorang pengawal keselamatan hilang di depan mata isteri dan tiga anaknya ketika memukat ikan di kawasan banjir di Kampung Paya Lateh, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Ismail Hashim, 49, mengalami kesukaran dan hilang ketika berenang menyeberang sungai yang berarus deras akibat banjir dekat rumahnya untuk memasang pukat. Sehingga jam 6 petang semalam mangsa belum ditemui.

Anaknya, Mohammad Khairul Ikhwan, 20, berkata dia nampak ayahnya timbul tenggelam beberapa kali sebelum hilang dari pandangan.

“Saya tak tahu berenang, kalau tidak tentu saya terjun berenang selamatkan ayah,..saya tengok depan mata, ayah hilang,” katanya.

Ketika itu, isteri mangsa, Siti Nor Sanisah Ishak, 46 dan dua lagi anak mereka, Muhammad Khairul Irfan, 15 dan Siti Nur Asyiffa, 8, sedang memancing berdekatan situ.

Di Dungun, seorang lelaki ditemui lemas selepas motosikal ditunggang dihanyutkan arus dalam di kawasan ladang kelapa sawit Felda Kerteh Tiga, pagi kelmarin.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kos pembaikan kerosakan jalan akibat bencana banjir di Kelantan dijangka mencecah RM22 .5 juta.

Katanya kerosakan itu membabitkan 13 jalan persekutuan dan 14 jalan negeri. “Anggaran ini tidak termasuk kos pembaikan permukaan jalan yang masih ditenggelami air dan berkemungkinan juga akan mengalami kerosakan maka kerosakan serta kos terperinci akan dikenal pasti selepas banjir surut,” katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search