OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pengendali PPS diingat jaga kualiti makanan, elak keracunan – Dr Dzulkefly

Pengendali PPS diingat jaga kualiti makanan, elak keracunan – Dr Dzulkefly

ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan pengendali pusat pemindahan sementara (PPS) supaya memastikan kualiti makanan terjaga bagi mengelak berlaku sebarang kes keracunan makanan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata amat penting untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang disediakan di PPS, selain mengawal penularan penyakit bawaan banjir sepanjang tempoh bencana itu.

“Paling mustahak, pastikan tiada kes keracunan makanan atau penyakit yang berkaitan dengan banjir. Buat masa ini, tiada kes penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus).

“Selepas banjir, kemungkinan wabak denggi akan memerlukan pemantauan rapi. Apa-apa pun, yang paling penting, sesiapa yang memerlukan rawatan khusus akan dipindahkan, misalnya untuk rawatan hemodialisis,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berpuas hati dengan pengurusan fasiliti kesihatan di negeri ini yang berada dalam keadaan terkawal, setakat ini.

Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri juga akan terus memantau dan menambah baik kualiti perkhidmatan mereka.

Katanya, fasiliti kesihatan bawah KKM yang terjejas akibat banjir, telah dipindahkan ke lokasi terdekat bagi memastikan perkhidmatan rawatan dapat diteruskan seperti biasa walaupun dalam situasi bencana.

“Kami berharap cuaca akan bertambah baik selepas ini. Diharapkan juga cuaca di negara jiran akan reda supaya limpahan air dari sana tidak menjejaskan kawasan kita,” katanya.

Sepanjang tempoh banjir, beliau berkata, petugas KKM akan diarahkan membantu fasiliti yang memerlukan jika perlu.

“Misalnya, mungkin ada petugas dihantar ke negeri lain atau ke daerah lain dalam negeri yang sama untuk membantu,” katanya. – BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search