Banjir: 7 lokasi dikenal pasti bagi penilaian pembinaan jambatan bailey
- Admin UKK
- Berita
BAGAN DATUK: Tujuh lokasi sudah dikenal pasti bagi penilaian pembinaan jambatan Bailey melibatkan kawasan yang terjejas banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah memutuskan pembinaan ini dijalankan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kita akan laksanakan pembinaan jambatan Bailey ini dalam tempoh 48 jam sebaik lokasi dikenal pasti sesuai untuk pembinaan dijalankan. Kita sudah mempunyai pengalaman menjalankan kerja pembinaan sama di lokasi-lokasi sebelum ini.
“Kita juga sudah menjalankan simulasi. Setakat ini maklumat yang diterima ada keperluan di tujuh lokasi dan kita mempunyai aset yang mencukupi,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, pembinaan jambatan kekal juga akan dilakukan terutamanya di lokasi yang melibatkan jalan perhubungan desa.
“Kita sudah mempunyai pengalaman berhadapan banjir besar pada tahun 2014 dimana kesiapsiagaan kita adalah minimum. Namun pada kali ini, saya percaya kita sudah mempunyai persiapan yang lebih baik.
“Jabatan Meteorologi Malaysia sudah memberikan data seminggu lebih awal mengenai taburan hujan dan tindakan pemindahan sudah dirancang. Namun, terdapat beberapa keluarga yang mengambil risiko dengan tidak berpindah dan terpaksa menanggung risiko apabila proses menyelamat tidak diadakan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan mangsa yang terjejas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membolehkan bantuan tunai RM1,000 dapat disalurkan.
Setakat ini, sejumlah 43,000 isi rumah yang terjejas banjir sudah direkodkan bagi menerima bantuan melibatkan peruntukan sejumlah RM4.3 juta.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program One Stop Centre Sejahtera Sosial negeri Perak di Politeknik Bagan Datuk, di sini.