‘KAMI HARAP HUJAN SEGERA REDA’
- Admin UKK
- Berita
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah keadaan yang dialami hampir 200 penduduk di Kampung Mial apabila 37 daripada 60 kediaman kini ditenggelami banjir separas bumbung.
Situasi itu berlaku selepas kawasan kampung berkenaan dinaiki air setinggi lebih lima meter susulan hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.
Penduduk, Hanapi Ali, 64, berkata apa yang lebih teruk lagi keadaan kampung itu dikelilingi sungai sehingga menyebabkan berlakunya limpahan air dan memenuhi kawasan perkampungan sekitar.
Katanya, tinjauan yang dilakukan penduduk Kampung Mial dinaiki air setinggi lebih lima meter, kampung pagi kelmarin, mendapati, 37 rumah ditenggelami air separas bumbung.
“Situasi banjir tahun ini adalah di luar jangka. Kami harap hujan segera reda kerana bimbang kejadian sama 10 tahun lalu berulang,” katanya menambah, rumahnya turut ditenggelami air separas bumbung.
“Kami sekeluarga kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Mial,” katanya lagi.
Menurutnya, banjir juga menyebabkan penduduk di beberapa kampung terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi laluan utama untuk ke bandar Kuala Krai turut tenggelam.