OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

2,102 penghuni RMM Teluk Kalong tidak pulang ke rumah

2,102 penghuni RMM Teluk Kalong tidak pulang ke rumah

Chukai: Seramai 2,102 penghuni Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kelmarin memilih untuk tidak pulang ke rumah walaupun banjir di kawasan berkenaan surut sepenuhnya pagi semalam.

Mereka mengambil keputusan tinggal di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air semula berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Penduduk, Mohd Afikfi Mohd Khalipani, 32, berkata, dia dan isteri, Normawati Abdullah, 29, serta tiga anaknya memilih tinggal di PPS kerana bimbang air akan naik semula.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan sesekali lebat masih lagi berterusan menyebabkan dia memilih jalan selamat untuk tinggal di pusat berkenaan walaupun air di kawasan rumahnya sudah surut sepenuhnya.

“Kami hanya pulang membersihkan rumah dan barangan serta perkakas rumah yang diselaputi lumpur sebelum kembali semula ke pusat pemindahan pada waktu malam.

“Kami keluar rumah pada tengah malam tadi (semalam) berikutan air naik mendadak sehingga paras paha orang dewasa,” katanya.

Katanya, berikutan air naik secara mendadak, dia hanya sempat mengambil dokumen penting dan beberapa helai pakaian sahaja manakala barangan dan perkakas rumah ditenggelami banjir.

Menurutnya, ada penduduk sudah tidur ketika air naik kerana tidak menyangka banjir berlaku di kawasan berkenaan.

Suri rumah, Tuan Rafidah Tuan Arifin, 40, berkata, dia dan suami, Mohd Firdaus Abdullah, 45, serta tiga anak juga memilih untuk bermalam di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air ekoran cuaca yang tidak menentu.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search