Kerajaan negeri tak serius selesaikan masalah banjir di Selangor?
- Admin UKK
- Berita
HULU BERNAM: “Adakah kerajaan pimpinan (Menteri Besar Selangor) YAB Dato’ Seri Amirudin Shari tidak serius memastikan masalah banjir ini diselesaikan?”
Itu persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin yang mengemukakan isu Belanjawan 2025 dan hala tuju projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Selangor.
Menurutnya, saban tahun, Selangor terus bergelut dengan musibah banjir pada skala yang teruk.
Beliau menegaskan, pelan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik, selain pengurusan sistem perparitan yang lemah menyulitkan lagi keadaan.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kepada negeri termaju di Malaysia.
“Selangor perlu lebih proaktif menangani impak banjir ini agar kesan banjir tersebut pada tahap paling minima,” tegasnya.
Muiz yang juga Exco Pemuda PAS Selangor menyatakan, musibah banjir pada Disember 2021 menyaksikan Selangor kerugian sebanyak RM1 bilion bagi membantu mangsa yang terjejas.
“Kos kerugian ini terus meningkat sekiranya mengambil kira kerosakan harta benda yang lain seperti kenderaan, perkakas rumah dan seumpamanya.
“Sementara, sebanyak RM400 juta digunakan untuk membaik pulih infrastruktur yang telah musnah,” ujarnya.
Kerugian berskala besar seperti ini, kata Muiz lagi, dapat ditangani dengan baik sekiranya kerajaan negeri mengambil serius peranannya.
“Untuk rekod, kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak lima buah projek tebatan banjir berimpak tinggi di Selangor, dengan kos kira-kira RM2.25 bilion.
“Malah, kerajaan negeri juga turut mempunyai kira-kira 41 projek tebatan banjir dengan peruntukan kos sebanyak RM482 juta,” jelasnya.
“Malangnya, sembilan daripada projek tersebut bermasalah akibat tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” tegasnya.
Antara projek gagal, ujar beliau, ialah projek RTB di Paya Jaras, yang mana tempoh yang diberikan selama 18 bulan iaitu bermula 05 Februari 2024 sehingga 04 Ogos 2025.
“Sehingga hari ini, walaupun sudah 8 bulan berlalu, perkembangannya masih 25 peratus. “Sewajarnya, secara matematiknya, projek tersebut perlu sudah siap menjangkau hampir 50%,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPNS) berpandangan, sebesar mana pun peruntukan yang diberikan, tetapi sekiranya proses pelaksanaan projek tersebut tidak diberikan perhatian yang serius, maka cita-cita untuk menyelesaikan masalah tersebut tidak akan tercapai.
“Maka, mendepani Monsun Timur Laut yang bakal menjelma tidak lama lagi, DPPNS mendesak kerajaan negeri Selangor untuk memberi fokus dan tindakan segera terhadap hala tuju projek RTB ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024