Fokus kurangkan risiko kerugian
- Admin UKK
- Berita
Kuantan: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
Ketua Setiausaha KPM Datuk Ruji Ubi berkata, antara langkah kesiapsiagaan ialah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di semua peringkat KPM membabitkan agensi pengurusan bencana.
Katanya, antara agensi berkenaan ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Surat Pemakluman Berkaitan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir dan Garis Panduan Pengurusan Banjir di Sekolah sudah dikeluarkan pada 22 Oktober lalu.
"Semua jabatan pendidikan negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan diberi peringatan untuk mengambil langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL 2024/2025 bagi mengurangkan risiko kerugian yang akan dihadapi meliputi nyawa dan harta benda.
"Surat peringatan ini disertakan dengan garis panduan tindakan sebelum, semasa dan selepas berlaku bencana banjir sama ada oleh institusi yang berisiko banjir atau sekolah yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS).
"Surat ini juga menjelaskan tindakan sekolah yang menumpangkan pelajar semasa menghadapi bencana banjir serta menyenaraikan peranan JPN, PPD, Bahagian KPM dalam menguruskan bencana banjir," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, di sini kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Amzan Abd Malek.
Pemilihan SMK Padang Garuda itu berdasarkan lokasi sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) jika berlaku bencana banjir.
Lebih 500 orang terbabit terdiri daripada pelajar, guru, pelajar Institusi Pendidikan Guru (IPG), pegawai JPN, PPD dan KPM serta agensi luar yang berkaitan pengurusan bencana banjir.
Ruji berkata, pelancaran Kesiapsiagaan KPM itu bertujuan menunjukkan optik keperihatinan kementerian terhadap keselamatan dan kebajikan warga KPM berkaitan bencana.
Katanya, selain itu juga meningkatkan kesiapsiagaan warga KPM menghadapi bencana an mewujudkan kefahaman mengenai pendidikan pengurangan risiko bencana dalam kalangan murid dan warga sekolah.
"Pada masa sama, ia akan mewujudkan kerjasama semua pihak dalam menangani isu bencana dan meningkatkan pembabitan warga KPM sebagai sukarelawan.
"Diharapkan pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi MTL 2024/2025 dapat memberikan kesedaran kepada warga KPM dan kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan pengurangan risiko akibat bencana banjir," katanya.
Sementara itu, Shafruddin berkata, sebanyak 5,254 sekolah yang dikenal pasti dan berdaftar sebagai PPS bagi menghadapi MTL 2024/2025.
Walaupun demikian, sebanyak 8,330 sekolah boleh dijadikan PPS sekiranya bencana banjir berlaku pada skala yang besar.
"Manakala 603 buah sekolah dikenal pasti berisiko dilanda banjir di seluruh negara. Bagaimanapun, ada juga sekolah yang tidak pernah banjir mengalami bencana itu.
"Oleh itu kita meminta pengurusan sekolah sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk memastikan keselamatan nyawa pelajar dan warga pendidik," katanya.
Bagi memastikan kurangnya risiko kerosakan terutama membabitkan dokumen penting, beliau berkata, pihaknya mengingat dan membenarkan pengetua dan guru besar menyimpannya pada awal bulan ini.
Katanya, dokumen berkenaan disimpan dan diletakkan lebih tinggi termasuk buku teks dan aset penting.
"Bagi pengagihan kerusi dan meja plastik kepada sekolah berisiko banjir, ia bergantung kepada permohonan kerosakan.
"Sebenarnya bermula 2022, kita menukar kerusi dan meja plastik kerana ia lebih selamat dan tahan lama, jika terkena banjir, ia masih dalam keadaan baik dan hanya perlu mencucinya.
"Tetapi kerusi dan meja plastik ini hanya di sekolah yang berisiko banjir dan bukannya semua sekolah," katanya.