Apa hala tuju projek RTB di Selangor?
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor mempersoalkan hala tuju rancangan tebatan banjir (RTB) di Selangor memandangkan negeri itu terus berdepan risiko bencana banjir yang semakin teruk saban tahun.
Exco Pemuda Pas Selangor, Muiz Mahyuddin berkata, pelan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik selain pengurusan sistem perparitan yang lemah memburukkan lagi situasi banjir di negeri itu.
Tegas beliau, perkara itu tidak sepatutnya berlaku di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia, justeru kerajaan negeri didesak lebih proaktif menangani impak banjir tersebut supaya kesannya pada tahap paling minima.
Tambah Muiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, musibah banjir pada pada Disember 2021 misalnya, menyebabkan Selangor kerugian RM1 bilion bagi membantu mangsa yang terjejas.
“Kerugian berskala besar seperti ini dapat ditangani dengan baik sekiranya kerajaan negeri mengambil serius peranannya.
“Malah, kerajaan negeri turut mempunyai kira-kira 41 projek tebatan banjir dengan peruntukan kos sebanyak RM482 juta.
“Malangnya, sembilan daripada projek tersebut bermasalah akibat tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun, katanya, sehingga hari ini, walaupun sudah lapan bulan berlalu, perkembangan projek itu masih 25 peratus sedangkan secara perkiraannya, projek tersebut sepatutnya sudah siap menjangkau hampir 50 peratus.
“Maka, mendepani Monsun Timur Laut yang bakal menjelma tidak lama lagi, kita mendesak Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi fokus dan tindakan segera terhadap hala tuju projek RTB ini,” katanya. – MalaysiaGazette