GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan ratusan ribu penduduk dunia terpaksa berpindah akibat bencana iklim tahun lalu, sekali gus menekankan keperluan mendesak diwujudkan sistem amaran awal global.
Menurut laporan tahunan Keadaan Iklim Global yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), negara miskin paling teruk terjejas akibat taufan, kemarau, kebakaran hutan dan bencana lain.
Namun, negara kaya juga tidak terlepas daripada kesan bencana, tambah WMO merujuk kepada banjir di Valencia, Sepanyol yang meragut 224 nyawa, selain kebakaran besar di Kanada dan Amerika Syarikat (AS) yang memaksa lebih 300,000 orang berpindah demi keselamatan.
WMO berkata, jumlah rekod pelarian akibat bencana iklim itu adalah berdasarkan data Pusat Pemantauan Perpindahan Antarabangsa (IDMC) yang mengumpul maklumat mengenai perkara itu sejak 2008.
Di Mozambique, kira-kira 100,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat Taufan Chido.
"Sebagai tindak balas, WMO dan masyarakat global sedang mempergiatkan usaha untuk memperkukuh sistem amaran awal serta perkhidmatan iklim," kata Ketua WMO, Celeste Saulo.
WMO menyasarkan semua penduduk dunia harus dilindungi oleh sistem itu menjelang akhir 2027.
"Kita sedang mencapai kemajuan tetapi perlu bergerak lebih jauh dan pantas. Hanya separuh daripada negara di dunia mempunyai sistem amaran awal yang mencukupi," kata Saulo.
Seruan itu dibuat dua bulan selepas kembalinya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memandang remeh terhadap isu perubahan iklim.
Pentadbiran Trump menjadikan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) iaitu agensi utama AS bertanggungjawab ke atas ramalan cuaca, analisis iklim dan pemuliharaan marin, sebagai sasaran, dengan ratusan saintis serta pakar dilepaskan daripada jawatan mereka.
Saulo menegaskan bahawa pelaburan dalam perkhidmatan cuaca, air dan iklim kini lebih penting berbanding sebelum ini bagi membina komuniti yang lebih selamat serta berdaya tahan. - AFP
SERIAN, 19 Mac: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM 1.3 juta untuk menyediakan wang ringgit dan juga barang makanan kering yang dihulurkan kepada mangsa banjir di Bahagian Serian s pada 28 Januari hingga 6 Febuari lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata sebanyak 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tdibuka kepada mangsa dalam mushibah berkenaan.
Menurutnya lebih RM 729,000 dihulurkan dalam bentuk wang tunai kepada 2,700 penerima yang mewakili 834 keluarga yang terkesan akibat banjir tersebut.
“Manakala kesemua 44 buah kampung terputus hubungan telah diserahkan bantuan makanan kering dengan jumlah keluarga yang menjadi mangsa sebanyak 13,521 orang. Bantuan yang disalurkan adalah sebanyak RM 584,041.
“Di kesempatan ini, pihak jabatan juga mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua agensi-agensi kerajaan yang terlibat dibahagian Serian secara langsung mahupun tidak langsung bagi membantu dan berkerjasama dengan pihak jabatan semasa musibah bencana banjir yang lalu,
Mohammad Razi berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 yang berlangsung di Dewan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Rabu.
Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu turut menyampaikan bantuan inisiatif Kerajaan Sarawak dan bantuan sekaligus.
Antara bantuan tersebut adalah bantuan kerusi roda, kad oku, bantuan sekolah, bantuan alat tiruan/sokongan selain hamper dan duit raya berjumlah RM 180 kepada lebih 100 penerima yang terdiri dari kalangan warga emas dan golongan berpendapatan rendah (B40).
Hadir sama ADUN Bukit Semuja John Ilus dan Wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Geoffrey Ramji-TVS.
CONSTANTINA, 19 Mac- Sepanyol dilanda ribut Laurence di bahagian selatan negara pada Selasa mengakibatkan seorang wanita maut manakala suaminya masih hilang.
Kejadian berlaku di perkampungan Constantina apabila pasangan tersebut melalui sebatang sungai kecil sebelum kenderaan mereka terbalik dan dibawa arus deras.
Terdahulu, polis mengesahkan mayat yang ditemukan lebih awal adalah milik wanita berkenaan, sementara usaha mengesan suaminya sedang diteruskan.
Laurence turut menyebabkan banjir besar di wilayah selatan Sepanyol termasuk Malaga yang mana hujan lebat menyebabkan sungai melimpah.
Di Cartama, pasukan penyelamat telah menyelamatkan kira-kira 20 orang dari kawasan ditenggelami air.
Pihak berkuasa Seville juga mengumumkan pemindahan penduduk di kawasan berisiko banjir berhampiran Sungai Guadalquivir sebagai langkah berjaga-jaga.
Laurence hadir selepas Sepanyol mengalami kemarau berpanjangan antara 2021 hingga 2024 dengan hujan lebat sejak beberapa minggu lalu meningkatkan kapasiti simpanan air kepada 65.8 peratus berbanding 56.82 peratus tahun sebelumnya. -AFP
KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir pada 2024 dianggarkan sebanyak RM933.4 juta, meningkat daripada RM755.4 juta pada 2023, bersamaan 0.05 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal berbanding 0.04 peratus pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kerugian terbesar dicatatkan dalam sektor kediaman, meningkat kepada RM372.2 juta berbanding RM168.3 juta pada 2023, diikuti oleh aset awam dan infrastruktur sebanyak RM303.4 juta berbanding RM380.7 juta pada 2023.
"Kerugian dalam sektor pertanian turut meningkat kepada RM185.2 juta berbanding RM120.6 juta pada 2023, manakala premis perniagaan mencatatkan kerugian sebanyak RM54.1 juta berbanding RM53.2 juta pada tahun sebelumnya.
"Bagi kerosakan kenderaan pula, ia mencatatkan kerugian sebanyak RM17.3 juta berbanding RM22.3 juta pada 2023, manakala sektor pembuatan merekodkan kerugian paling kecil, iaitu RM1.2 juta berbanding RM10.3 juta pada 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Uzir berkata, dari segi tempat kediaman, Kelantan mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM139 juta, diikuti Terengganu dengan RM103.1 juta dan Kedah sebanyak RM54 juta.
"Di Kelantan, daerah paling terjejas ialah Pasir Mas dengan kerugian berjumlah RM46.2 juta, diikuti Tumpat (RM31.7 juta) dan Kota Bharu (RM19.2 juta) manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi bagi tempat kediaman berjumlah RM38.4 juta, diikuti Setiu (RM16.1 juta) dan Kemaman (RM14.2 juta).
"Di Kedah, Kota Setar dan Kubang Pasu mencatatkan kerugian tertinggi, masing-masing RM22 juta dan RM9.4 juta, diikuti Baling dengan RM6.9 juta," katanya.
Beliau berkata, Kelantan menanggung kerugian premis perniagaan terbesar, berjumlah RM27.1 juta, diikuti Terengganu sebanyak RM16.4 juta dan Kedah sebanyak RM4.3 juta.
"Di Kelantan, Pasir Mas dan Kota Bharu mengalami impak kewangan yang paling ketara, masing-masing dengan kerugian RM9.8 juta, sementara Tumpat mencatatkan kerugian RM5 juta, manakala di Terengganu, Besut merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM6.4 juta, diikuti Setiu (RM2.9 juta) dan Dungun (RM1.9 juta).
"Di Kedah pula, Kota Setar merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.8 juta, diikuti Baling dan Pokok Sena, masing-masing RM800,000 dan RM400,000," katanya.
Beliau berkata, Terengganu mencatatkan kerugian kerosakan kenderaan tertinggi berjumlah RM5.8 juta, diikuti dengan Kelantan sebanyak RM4 juta dan Kedah sebanyak RM2.1 juta dengan daerah yang paling terjejas ialah Besut (RM1.4 juta), diikuti dengan Kemaman (RM1 juta) dan Dungun (RM800,000).
"Bagi Kelantan, Tumpat merekodkan kerugian kenderaan tertinggi berjumlah RM1.8 juta, diikuti Pasir Mas (RM1 juta) dan Kota Bharu (RM500,000) manakala di Kedah, Kota Setar mengalami kerugian tertinggi sebanyak RM900,000, diikuti Pokok Sena (RM500,000) dan Baling (RM300,000).
"Untuk sektor pembuatan, Kelantan mencatatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta, dengan Pasir Mas mengalami impak tertinggi berjumlah RM1 juta, manakala Pasir Puteh dan Tumpat merekodkan kerugian lebih rendah, masing-masing di bawah RM100,000," katanya.
PETALING JAYA – Amaran kategori pertama angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter (m) dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Jumaat ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kenaikan paras laut yang berisiko membawa limpahan air laut di pesisir pantai dijangka melanda kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak Barat.
Bagi cuaca terkini, MetMalaysia memaklumkan ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda kawasan perairan Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sarawak, Sabah sehingga 1 tengah hari ini.
“Cuaca buruk ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5m dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE