OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Ratusan ribu penduduk dunia terpaksa berpindah akibat bencana iklim - PBB

Ratusan ribu penduduk dunia terpaksa berpindah akibat bencana iklim - PBB

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan ratusan ribu penduduk dunia terpaksa berpindah akibat bencana iklim tahun lalu, sekali gus menekankan keperluan mendesak diwujudkan sistem amaran awal global.

Menurut laporan tahunan Keadaan Iklim Global yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), negara miskin paling teruk terjejas akibat taufan, kemarau, kebakaran hutan dan bencana lain.

Namun, negara kaya juga tidak terlepas daripada kesan bencana, tambah WMO merujuk kepada banjir di Valencia, Sepanyol yang meragut 224 nyawa, selain kebakaran besar di Kanada dan Amerika Syarikat (AS) yang memaksa lebih 300,000 orang berpindah demi keselamatan.

WMO berkata, jumlah rekod pelarian akibat bencana iklim itu adalah berdasarkan data Pusat Pemantauan Perpindahan Antarabangsa (IDMC) yang mengumpul maklumat mengenai perkara itu sejak 2008.

Di Mozambique, kira-kira 100,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat Taufan Chido.

"Sebagai tindak balas, WMO dan masyarakat global sedang mempergiatkan usaha untuk memperkukuh sistem amaran awal serta perkhidmatan iklim," kata Ketua WMO, Celeste Saulo.

WMO menyasarkan semua penduduk dunia harus dilindungi oleh sistem itu menjelang akhir 2027.

"Kita sedang mencapai kemajuan tetapi perlu bergerak lebih jauh dan pantas. Hanya separuh daripada negara di dunia mempunyai sistem amaran awal yang mencukupi," kata Saulo.

Seruan itu dibuat dua bulan selepas kembalinya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memandang remeh terhadap isu perubahan iklim.

Pentadbiran Trump menjadikan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) iaitu agensi utama AS bertanggungjawab ke atas ramalan cuaca, analisis iklim dan pemuliharaan marin, sebagai sasaran, dengan ratusan saintis serta pakar dilepaskan daripada jawatan mereka.

Saulo menegaskan bahawa pelaburan dalam perkhidmatan cuaca, air dan iklim kini lebih penting berbanding sebelum ini bagi membina komuniti yang lebih selamat serta berdaya tahan. - AFP

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search