SEGAMAT: Seorang pelatih guru lelaki Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur, maut terkena renjatan elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, mangsa Saiful Asraf Mukhtar, 21, dikatakan berada di luar bilik makmal komputer untuk membantu kerja pembersihan kerusi dan meja akibat banjir.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa datang ke sekolah berkenaan bersama-sama sekumpulan pelatih IPG bagi membantu kerja pembersihan pasca banjir.
“Sebelum kejadian, mangsa sedang menggunakan alat penyembur air atau ‘water jet’ membersihkan kerusi meja pelajar.
“Tiba-tiba berlaku renjatan dan mangsa yang berdiri kemudiannya rebah,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Ahmad Zamry berkata, beberapa rakannya berhampiran sempat memberikan bantuan pernafasan (CPR).
“Saiful Asraf turut mengalami cedera di bahagian kepala. Mangsa terus dikejarkan ke Hospital Daerah Segamat (HDS) menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya sambil memberitahu kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Ini adalah kali kedua pelatih guru berasal dari Sabah itu datang menaiki bas IPG untuk membantu misi pasca banjir di Segamat ketika musim banjir tahun ini. – UTUSAN
SEGAMAT: Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Johor ketika ini meskipun angka mangsa banjir di negeri itu sudah melebihi 40,000 orang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana kebanyakan kawasan yang terjejas di negeri berkenaan telah surut selain jangkaan hujan juga akan berkurangan. “Keputusan kerajaan tidak umumkan darurat kerana jangkaan hujan sudah mula berkurangan dan beberapa tempat (juga) sudah mulai surut. “Walaupun ada masalah (banjir) termenung di beberapa tempat, (keadaan) itu mengambil masa tetapi tidak perlu (isytihar) darurat kerana banjir sudah mulai surut,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina SJK(C) Kampung Tengah, di sini pagi ini.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan juga sudah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas khususnya di negeri Johor.
“Saya telah hubungi semua GLC penting kerajaan persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk turun menyelesaikan masalah bekalan elektrik di kawasan yang terjejas banjir.
“Yayasan Sime Darby juga akan menyediakan kit kesihatan kepada lebih 1,500 keluarga selain mereka turut membantu mengumpulkan dana RM20 juta tambahan untuk rakyat Johor,” tambahnya.
Ops khas di kawasan kritikal
- Admin UKK
- Berita
Johor Bahru: Operasi khas di kawasan kritikal banjir di negeri ini dijalankan bagi membantu mangsa di kawasan terbabit, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau sudah memanggil mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama pegawai-pegawai daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, malam tadi.
"Operasi khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau berkata, memandangkan Johor menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, adalah menjadi tekad kerajaan negeri supaya persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.
"Mohon semua rakyat Johor untuk sama-sama memohon doa supaya Allah SWT mengangkat musibah ini, dan semoga ada sinar di sebalik bencana banjir ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu.
Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri serta semua agensi terbabit yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Datuk Noh Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) Datuk On Jabbar@Jaafar serta pegawai-pegawai daerah dan wakil agensi-agensi terbabit.
Setakat 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah di negeri ini, dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan 14,030 mangsa. - HARIAN METRO
MUAR – Kerajaan akan menyegerakan pemberian wang ihsan kepada penduduk terjejas banjir di Johor baagi meringankan beban mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, bantuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu akan akan mengambil masa selewat-lewatnya seminggu.
“Di peringkat Nadma pusat baru-baru ini, kita telah tetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang mana bantuan ini dalam tempoh seminggu paling lewat, peruntukan itu saya beri jaminan sudah disalurkan ke negeri dan daerah terlibat.
“Itu Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sebaik sahaja kita menerima maklumat yang disahkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana dan daerah,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Pagoh, dekat sini, hari ini.
'Nadma tak tangguh bantuan wang ihsan'
- Admin UKK
- Berita
MUAR - Kerajaan akan menyalurkan segera pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana banjir, selepas mendapat maklumat lengkap disediakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menetapkan tempoh selewat-lewatnya seminggu, untuk menyalurkan bantuan berkenaan kepada negeri dan daerah terlibat.
"Nadma tidak akan bertangguh dari aspek tersebut, itu juga komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, bahawa ia perlu disalur segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat di Pusat Kawalan Operasi Bencana Muar pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau melawat pusat pemindahan sementara (PPS) IKTBN Pagoh, dan PPS Dewan Serbaguna Pagoh.
Armizan berkata, ketika ini, pihaknya faham Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah memerlukan sedikit masa untuk menyemak data dan statistik, supaya tidak berlaku pertindihan dan memastikan hanya mangsa banjir yang berkelayakan menerima bantuan tersebut.
Beliau berkata, ini memandangkan, terdapat juga mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS dan sehubungan itu, maklumat mereka perlu disahkan menerusi pelbagai pihak seperti penghulu, ketua kampung atau Pejabat Daerah.
"Ini (BWI) dana awam, jadi walaupun kita telah kurangkan karenah birokrasi ada juga prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi,” katanya dan menambah, nilai bantuan berkenaan amat bernilai dan bermakna kepada mangsa banjir yang terlibat.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan tambahan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari beberapa buah negeri, dijangka tiba hari ini di Johor bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.
Armizan berkata, menurut laporan dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), sebanyak 14 Siri Amaran Hujan Berterusan telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MeTMalaysia) sepanjang Monsun Timur Laut 2022/2023.
"Luruan monsun dijangka akan berterusan sehingga 6 Mac ini, menyebabkan hujan berterusan dijangka berlaku di selatan Semenanjung, manakala ribut petir di barat Sarawak dijangka berlaku pada petang hingga awal pagi sehingga 6 Mac ini,” katanya.
MeTMalaysia juga meramalkan hujan sangat lebat berterusan (kategori bahaya), dijangka berlaku di Segamat, Kluang dan Mersing sehingga esok. - SINAR HARIAN
