OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Laporan tanah runtuh Batang Kali siap akhir bulan ini

PETALING JAYA – Laporan kejadian tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku Disember lalu dijangka diperoleh akhir bulan ini.

Menteri Jabatan Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, laporan itu akan dibentangkan
kepada Jemaah Menteri sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak yang terlibat mengambil tindakan selanjutnya.

“Kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam peringkat penyediaan draf laporan akhir.

“Saya memahami banyak pihak termasuk keluarga mangsa yang terjejas ingin mengetahui atau mendapatkan laporan akhir kejadian berkenaan, justeru saya memberi jaminan JKR sedang melakukan usaha yang terbaik untuk melengkapkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Alexander, antara elemen yang diambil kira dalam penyiapan laporan itu adalah kerja-kerja ujian penyiasatan tanah di lapangan dan makmal serta penganalisaan data.

“Data daripada ujian ini adalah penting untuk dianalisis bagi menentukan mekanisme kegagalan oleh pelbagai pakar termasuk dari aspek kejuruteraan geoteknik dan geologi,” tambahnya.

Semalam, kira-kira 30 mangsa dan waris tragedi tanah runtuh itu menuntut siasatan telus yang mendedahkan punca sebenar runtuhan tanpa sebarang cubaan untuk menyembunyikan atau mengelak tanggungjawab.

Mereka mendakwa, beberapa urusan tidak dapat diselesaikan khususnya membabitkan tuntutan insurans kenderaan yang musnah kerana tiada laporan penuh siasatan walaupun kejadian sudah enam bulan berlalu.

Terdahulu, pada 16 Disember lalu, seramai 31 mangsa terkorban, manakala 61 terselamat lagi ketika berada di sebuah tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Jalan Genting, Batang Kali. – KOSMO

 

Fenomena cuaca panas, Sungai Tamparuli jadi cetek

Tamparuli: Paras Sungai Tamparuli yang mengalir ke dua Loji Rawatan Air Telibong mengalami penyusutan ketara selepas tidak berlaku hujan lebat di daerah ini lebih dua minggu.

Tinjauan mendapati sungai berhampiran jambatan Tamparuli, di sini, menjadi cetek dan menyebabkan tebing sungai kering menjadi luas sehingga menampakkan daratan pasir dan batu.

Fenomena sungai Tamparuli menjadi cetek hanya berlaku ketika musim kemarau panjang, menyebabkan air berkurangan apabila tiada hujan lebat pada tempoh agak lama.

Apabila paras sungai Tamparuli mengalami penyusutan, loji rawatan air Telibong turut terjejas, memaksa tekanan air disalur kepada pengguna di daerah ini dan sekitarnya diperlahankan.

Difahamkan, loji rawatan air Telibong hanya mampu membekalkan air terawat sekitar 25 hingga 30 peratus kepada pengguna di Tuaran dan Utara Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, loji rawatan air Telibong kedua mampu menyediakan 80 juta liter air sehari kepada pengguna di Tuaran dan Utara Kota Kinabalu.

"Jika kemarau berterusan sehingga menjejaskan paras Sungai Tamparuli yang dirawat dua loji Telibong, catuan air kepada pengguna tidak dapat dielakkan," katanya ketika lawatan ke loji rawatan itu.

Ketika ini, sebahagian besar penduduk Tamparuli dan Tuaran menghadapi masalah air terawat, memaksa kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil pelbagai pendekatan untuk menyelesaikannya.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula menasihatkan penduduk di puluhan taman perumahan seperti Taman Seri Rugading, Taman Telipok Ria, Taman Putrajaya dan Bandar Siera sentiasa menjimatkan pengguna air termasuk ketika musim kemarau.

Sehubungan itu, Tangau berkata, Jabatan Air akan memantau sebarang penurunan tekanan air seperti kejadian paip pecah dan memantau pengagihan bagi meminimumkan gangguan semasa perayaan. - HARIAN METRO

 

Taiping: Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) mengambil langkah berjaga-jaga memastikan haiwan di zoo berkenaan tidak terkena serangan strok haba susulan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Pengarahnya Dr Muhamad Ridhwan Affendi setakat ini tiada haiwan di zoo berkenaan yang dikesan terkena strok haba.

"Haiwan mempunyai kemungkinan terkena strok haba dan penyakit diabetes seperti manusia, jika tidak dijaga dengan baik oleh pakar.

"Sekarang kita dilanda cuaca yang sangat panas hinggakan pernah mencecah suhu 39 hingga 40 darjah. Namun, kita bersyukur juga kerana ZTNS terletak di kawasan yang sesuai iaitu di tapak kaki Bukit Larut yang dikelilingi Taman Tasek Taiping," katanya pada sidang media program 'Let's Nurture the Nature' sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di sini hari ini.

Muhamad Ridhwan berkata kebajikan di zoo dijaga rapi oleh ahli yang ditugaskan khas untuk menjaga haiwan dan air, selain memandikan haiwan seperti gajah secara berkala.

Beliau berharap cuaca panas di negara ini tidak berlanjutan sehingga ke bulan Ogos dan September, memandangkan terdapat taburan hujan semenjak beberapa hari lepas. 

"Antara pengisian aktiviti yang dijalankan pada hari ini ialah penanaman anak pokok Kelat Paya Merah, lawatan zoo dan pemberian makanan kepada haiwan," katanya.

Beliau berkata istimewa bagi penanaman anak pokok pada hari ini ialah menggunakan tanah baja organik daripada tinja haiwan.

"Kita menggunakan baja kompos yang diperbuat daripada tinja gajah, yang merupakan penghasilan produk ZTNS sendiri. Ini merupakan kebanggaan kami dan rasanya kami merupakan zoo pertama yang lakukan (baja kompos) untuk kegunaan semua tanaman," katanya. -Zoo ambil langkah berjaa-jaga elak haiwan kena strok haba. -HARIAN METRO

 

Hampir seluruh negara alami cuaca buruk hingga 6 petang

Kuala Lumpur: Beberapa daerah di lapan negeri selain tiga Wilayah Persekutuan dijangka berdepan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 6 petang ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata, amaran cuaca buruk itu membabitkan Padang Terap, Sik dan Baling di Kedah dan Hulu Perak, Perak.

Selain itu, Kelantan (Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang) serta Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu juga berdepan cuaca sama.

"Bagi Pahang, kawasan yang dikesan berdepan amaran cuaca itu ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Raub, Selangor pula membabitkan Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

 

"Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sarawak membabitkan Kapit (Belaga), Miri (Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang juga dijangka berdepan amaran cuaca itu," katanya, hari ini.

Kenyataan itu berkata, kawasan diramal berdepan cuaca sama di Sabah ialah pedalaman Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort, Pantai Barat, Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat selain Labuan. - HARIAN METRO

 

Taburan hujan rendah susulan Monsun Barat Daya

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami taburan hujan rendah dengan bilangan hari tanpa hujan lebih banyak susulan musim Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka berakhir pertengahan September depan.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, sepanjang Jun ini, kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 50 milimeter (mm) hingga 150mm kecuali Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak, Kelantan dan Terengganu yang dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu antara 50mm hingga 300mm.

Menurut jabatan itu, menjelang Julai, sebilangan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangkakan menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm, kecuali di selatan Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangkakan menerima hujan sedikit di bawah purata iaitu antara 50mm hingga 150mm.

"Di Sarawak, Kebanyakan kawasan dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu di antara 100 hingga 250mm kecuali di Miri dan Limbang yang dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150mm hingga 300mm. Sabah dan Labuan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 350mm.

 

"Pada Ogos, kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangkakan menerima hujan pada paras purata antara 100mm hingga 400mm kecuali di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangkakan menerima hujan sedikit bawah purata iaitu antara 50mm ke 150mm," katanya dalam kenyataannya, hari ini

Agensi itu memaklumkan, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutama pada awal pagi. - METRO

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search