OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Ops khas di kawasan kritikal

Ops khas di kawasan kritikal

Johor Bahru: Operasi khas di kawasan kritikal banjir di negeri ini dijalankan bagi membantu mangsa di kawasan terbabit, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau sudah memanggil mesyuarat koordinasi gerak kerja bersama pegawai-pegawai daerah dan agensi-agensi di Bilik Gerakan Bencana Banjir Negeri Johor, malam tadi.

"Operasi khas di kawasan yang kritikal sedang dan akan diteruskan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Permasalahan dan solusinya juga diputuskan semasa mesyuarat ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.

Beliau berkata, memandangkan Johor menerima laporan awal dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai kemungkinan gelombang baharu susulan amaran hujan lebat tahap bahaya di beberapa daerah, adalah menjadi tekad kerajaan negeri supaya persiapan dan penyelarasan sewajarnya dilakukan.

"Mohon semua rakyat Johor untuk sama-sama memohon doa supaya Allah SWT mengangkat musibah ini, dan semoga ada sinar di sebalik bencana banjir ini," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pegawai-pegawai tertinggi kerajaan negeri serta semua agensi terbabit yang bekerja siang dan malam membantu mangsa banjir.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pengurusan) Datuk Noh Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan) Datuk On Jabbar@Jaafar serta pegawai-pegawai daerah dan wakil agensi-agensi terbabit.

Setakat 4 pagi tadi, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 44,860 orang di kesemua 10 daerah di negeri ini, dengan Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan 14,030 mangsa. - HARIAN METRO

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search