OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Kerajaan akan pastikan mangsa banjir mendapat tempat berteduh - PM Anwar

PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan akan terus memantau situasi banjir di Kelantan dengan rapi dan memastikan mangsa banjir mendapat tempat berteduh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya juga akan berusaha mengatasi kesan buruk musibah banjir.

"Usai tiba di Kota Bharu, Kelantan, saya langsung diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini situasi banjir dan pengoperasian pasukan keselamatan kita.

"Sambil diapit Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, taklimat itu juga memperincikan masalah yang dihadapi, cabaran operasi, status mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) selain pemberian bantuan kepada yang terkesan dengan bencana banjir.

"Agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat bagi memastikan urusan kebajikan mangsa banjir yang diberi keutamaan pada setiap masa," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, beliau turut melawat Jambatan Lubok Jong, di sini, bagi melihat sendiri kesan banjir dan langkah untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu..

"Dalam lawatan ini juga saya singgah PPS di SMKA, Kampung Banggol Manok untuk mendengar sendiri masalah dihadapi mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah berkenaan," katanya.

Mangsa banjir mahu agensi Persekutuan pantau agihan bantuan wang ihsan

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan berharap agihan bantuan wang ihsan menerusi peruntukan RM50 juta oleh kerajaan Persekutuan dipantau supaya agihan itu telus dan adil.

Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penduduk Kampung Tersang Mohd Hirwan Rajiuo, 42, berkata langkah itu perlu bagi memastikan hanya yang benar-benar layak mendapat bantuan itu.

"Pada awal tahun ini rumah saya terkesan banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) namun nama saya tercicir daripada bantuan RM1,000.

"Sejak November hingga bulan ini pula tiga kali keluarga saya terpaksa berpindah ke PPS justeru saya berharap agensi kerajaan Persekutuan perlu main peranan lebih baik dan pantau supaya ia tidak berulang lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan berharap agihan bantuan wang ihsan menerusi peruntukan RM50 juta oleh kerajaan Persekutuan dipantau supaya agihan itu telus dan adil.

Menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penduduk Kampung Tersang Mohd Hirwan Rajiuo, 42, berkata langkah itu perlu bagi memastikan hanya yang benar-benar layak mendapat bantuan itu.

"Pada awal tahun ini rumah saya terkesan banjir dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) namun nama saya tercicir daripada bantuan RM1,000.

"Sejak November hingga bulan ini pula tiga kali keluarga saya terpaksa berpindah ke PPS justeru saya berharap agensi kerajaan Persekutuan perlu main peranan lebih baik dan pantau supaya ia tidak berulang lagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

"Oleh itu, keputusan kerajaan hari ini dengan segerakan beberapa projek tebatan banjir sangat tepat pada waktunya," katanya.

Mohd Suhaldi Omar, 50, dari Kampung Keroh, Kuala Krai pula berharap segala projek dan peruntukan yang diberikan kerajaan perlu digunakan sebaik mungkin oleh agensi terbabit supaya masalah banjir yang sering berlaku di Kelantan dapat diatasi dengan cepat.

"Kita tidak mahu projek-projek yang diumumkan kerajaan ini tergendala sehingga menyusahkan rakyat. Kalau janji tahun ini siap, mesti kena siap juga dan jangan beri banyak alasan kenapa ia lewat.

"Masalah banjir di Kelantan ini setiap tahun berlaku, jadi usaha oleh semua pihak sangat penting dan perbezaan politik perlu dielakkan demi rakyat," katanya.

Terdahulu, Anwar dalam lawatan meninjau situasi banjir di Kelantan telah mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada mangsa banjir di Kelantan yang terjejas akibat tiga gelombang bencana alam itu sejak November lalu.

Beliau turut meluluskan peruntukan segera bernilai RM6 juta untuk membina benteng sementara termasuk struktur alur limpah bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan berhampiran.

28,310 mangsa banjir di enam negeri termasuk Johor dan Sabah - NADMA

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang setakat jam 6 pagi tadi, berbanding 25,938 orang petang semalam dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

Laporan terkini kejadian bencana yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada jam 4 petang semalam.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.

Selangor kekal dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS Kuala Langat, manakala dua negeri terbaru dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.

Laporan itu turut memaklumkan daripada sembilan PPS yang masih dibuka di Pahang, satu daripadanya iaitu di Cameron Highlands yang membabitkan kejadian tanah runtuh, kekal menempatkan 87 mangsa daripada 17 keluarga.

 Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi). – BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat petang ini

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di enam negeri terjejas akibat bencana itu menurun kepada 25,329 orang setakat jam 5.49 petang ini, berbanding 28,310 orang pada jam 6 pagi tadi membabitkan 146 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dipindahkan ke 64 PPS iaitu seramai 17,904 orang membabitkan 5,734 keluarga.

Terengganu juga masih kekal dengan angka tertinggi iaitu 7,026 mangsa membabitkan 1,967 keluarga di 71 PPS antaranya di Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Kemaman, Besut, Marang dan Kuala Nerus.

Bagi tiga negeri iaitu Sabah, Johor dan Pahang, masing-masing mencatat angka mangsa di bawah 200 orang iaitu Sabah mencatatkan 173 mangsa ditempatkan di tiga PPS (Beluran, Sabah, Sandakan), manakala di Pahang seramai 114 mangsa di tiga PPS ( Lipis, Kuantan, Jerantut).

Mangsa yang dipindahkan di Johor pula seramai 108 orang di tiga PPS iaitu di Mersing dan Segamat, manakala Selangor mencatatkan angka mangsa hanya seramai empat orang yang ditempatkan di satu PPS iaitu di Kuala Langat.

Info Bencana JKM turut memaklumkan Pahang dan Terengganu membuka satu PPS membabitkan kejadian tanah runtuh iaitu di Cameron Highlands, Pahang dengan 87 mangsa dipindahkan, manakala enam mangsa dipindahkan ke PPS Kuala Nerus, Terengganu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) memberi amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku sehingga keesokan hari di beberapa negeri iaitu Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Johor Bahru).

Tiga kali setahun pindah ke PPS

SEGAMAT: Impak Monsun Timur Laut (MTL) cukup memeritkan kehidupan mangsa banjir di Kampung Seberang Batu Badak, di sini sehinggakan ada antara mereka terpaksa berpindah sebanyak tiga kali ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Nur Sholihah Raja Shahrin , 29, dari Kampung Seberang Batu Badak, berkata kali pertama dia bersama suami, Aman Syafi Zainal, 28, serta seorang anak mereka, Nia Aurora Aman Syafi, 4 tahun diarah berpindah ke PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat pada awal Januari lalu.

"Dah pindah tiga kali. Kali pertama pindah PPS pada awal Januari akibat Sungai Segamat dan Sungai Muar berhampiran rumah melimpah selepas hujan lebat hinggakan air masuk ke dalam rumah.

"Pada hujung Januari air surut, jadi kami berkemas dan pulang bersihkan rumah. Hanya beberapa bulan sahaja kami dapat bermalam di rumah kerana pagi pertengahan Mac hujan lebat sehingga rumah sekali lagi ditenggelami bah dan kami diarahkan berpindah semula ke PPS.

"Kami dapat menetap di rumah lagi namun selepas sembilan bulan disebabkan hujan lebat dari petang kelmarin, kami dipindahkan buat kali ketiga tengah hari," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat, Azmi Abd.Karim dan Ketua Kampung Batu Badak, Abdul Manap Munaj.

Menurut suri rumah itu, saban tahun banjir melanda rumahnya sehinggakan dia sekeluarga pernah ditempatkan di PPS selama sebulan sebelum keadaan bah termenung benar-benar pulih.

"Kami tiga beranak telah 'lali' terpaksa berpindah berkali-kali dan terakhir meninggalkan PPS sehingga air sungai kembali ke paras selamat dan menanti debaran bila banjir yang akhirnya surut," katanya.

Situasi sama turut dialami Mohd Razali Mohd.Hasbul, 48, dari Batu Batu Badak yang sudah berpindah tiga kali ke PPS sama dalam tempoh setahun.

Menurut bapa kepada dua anak itu, kali pertama dia sekeluarga diarahkan berpindah adalah pada awal Januari lalu akibat limpahan Sungai Segamat.

"Kelmarin, air banjir sudah mulai memasuki bawah kediaman dan kami berpindah ke PPS tengahari tadi.

"Kegembiraan dalam setahun itu cukup singkat kerana petang semalam hujan lebat sehingga air banjir naik begitu cepat.

"Namun kami sekeluarga sempat berkemas dan berpindah semula ke PPS sama sebelum ini," katanya.

Mohd Razali berkata, bencana itu amat menjejaskan pendapatannya yang bekerja sebagai nelayan sungai kerana Sungai Segamat berarus deras sekali gus menghalangnya memukat.

"Sudah banjir nak buat macam mana wajib reda selain kena keluar cari rezeki di tempat lain yang bersesuaian," katanya.

PPS Balai Raya Batu Badak di sini, PPS yang menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 17 orang daripada 4 keluarga sehingga jam 4 petang tadi.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search