OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Banjir Johor hampir pulih, hanya 78 masih di 3 PPS

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Kota Tinggi pulih apabila satu pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir yang beroperasi di daerah itu ditutup sepenuhnya. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata seramai empat mangsa daripada dua keluarga yang tinggal di PPS berkenaan dibenarkan pulang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dengan dua sahaja daerah yang masih terjejas dengan banjir, situasi banjir di Johor dilihat hampir pulih.

"Mangsa banjir di Johor kini hanya tinggal 78 orang daripada 20 keluarga pagi jam 8 pagi ini dengan tiga sahaja PPS yang masih beroperasi. 

"Mangsa banjir itu berkenaan berada di Segamat dan Batu Pahat yang mana jumlah mangsa banjir di dua daerah itu tidak berubah sejak malam tadi.

"Di Segamat, mangsa banjir kekal dengan 63 orang daripada 17 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat tidak berubah dengan 15 orang daripada tiga keluarga yang berada di satu PPS," katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan kini hanya dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja.

Dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Sementara itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjelaskan lembangan Sungai Muar di Segamat dan Sungai Jemaluang di Mersing melepasi paras amaran.

Hanya Mersing dilaporkan hujan pagi ini, manakala Johor Bahru, Pontian dan Kulai dilaporkan cerah dan enam daerah lain dilaporkan mendung.

 
 

7,341 mangsa banjir di Johor masih di PPS

Johor Bahru: Penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor berkurang sedikit daripada 7,324 orang daripada 2,062 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 7,341 orang daripada 2,046 keluarga pada 9 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hanya di Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat, manakala Kluang dan Johor Bahru semakin berkurang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kulai, Segamat dan Pontian pula tidak berubah.

"Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi terus meningkat daripada 4,652 orang membabitkan 1,257 keluarga pada malam tadi kepada 4,707 orang daripada 1,289 keluarga.

"Semua mangsa banjir di Kota Tinggi kini ditempatkan di 26 PPS di daerah berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Azmi, jumlah mangsa banjir di Kluang pula berkurang daripada 1,613 orang daripada 495 keluarga malam tadi kepada 1,601 orang daripada 494 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di 13 PPS.

"Di Johor Bahru, seramai 840 mangsa daripada 233 keluarga pula kini ditempatkan di lima PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Kulai kekal 86 orang daripada 23 keluarga di satu PPS, Segamat juga tidak berubah dengan 73 orang mangsa daripada 20 keluarga di tiga PPS dan Pontian mencatatkan mangsa yang tidak berubah seramai 17 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di satu PPS," katanya.

Pusat Bandar Kota Tinggi lumpuh

KOTA TINGGI: Pusat Bandar Kota Tinggi semalam lumpuh apabila dinaiki air lebih satu meter berikutan keadaan banjir sejak malam semalam. Keadaan semakin buruk apabila berlaku pertembungan antara banjir dan fenomena air pasang penuh. Malah, Jalan Semanggar menuju ke kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tun Habab juga tidak boleh dilalui berikutan air berarus deras yang membanjiri…

Banjir teruk di Kota Tinggi, TNB tutup bekalan elektrik di sebahagian lokasi

JOHOR BAHRU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di 33 lokasi sekitar daerah Kota Tinggi yang kini teruk terjejas banjir, sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata bagaimanapun setakat jam 8 malam tadi, bekalan elektrik di lima lokasi telah pulih sepenuhnya.

 

Beliau berkata, bekalan elektrik di Johor Bahru yang ditutup di tiga lokasi juga telah pulih sepenuhnya.

"Sebelum ini, Kampung Paya Kenangan, Taman Ulam Raja dan Sekolah Kebangsaan (SK) Maju Jaya di Johor Bahru telah ditutup bekalan elektrik, namun telah dipulihkan sepenuhnya pada petang tadi," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, menurut notis dikeluarkan TNB dalam Facebook TNB Careline, bekalan elektrik di beberapa kawasan telah disambung semula setelah air surut.

Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi pepasangan elektrik yang terendam dalam banjir, kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus elektrik.

 

Banjir: Kerjasama jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sangat dituntut - PM Anwar

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara semua jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sangat dituntut dalam menghadapi musibah banjir termasuk di Kelantan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Alhamdulillah, kerjasama kedua-dua pihak ketika ini telah menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook malam ini.

Perdana Menteri berkata, beberapa projek baharu turut diumumkan dalam lawatannya ke Pasir Mas hari ini sebagai langkah mengatasi masalah banjir iaitu meluluskan pembinaan benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.

Selain itu, kerajaan Kelantan bersetuju menyegerakan proses pengambilan tanah bagi projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 serta proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta akan dimulakan tahun depan.

"Moga segala dirancang ini bermanfaat dan membantu menyelesaikan masalah banjir yang berlaku," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search