KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Terengganu tidak berubah dengan mangsa kekal 63 orang daripada 17 keluarga setakat 6 pagi ini.
Menurut laporan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa terjejas di negeri berkenaan.
Nadma dalam laporannya memaklumkan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di enam negeri berada pada paras bahaya iaitu Sungai Muda di Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah; Sungai Sarang Buaya di Muar dan Sungai Johor di Kulai, Johor; Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Terengganu (Hulu Terengganu) dan Sungai Rompin (Pahang).
Sebanyak 16 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak dan cerun runtuh antaranya Jalan Boh di Cameron Highlands, Pahang, Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan dan Jalan Bukit Jugra di Hulu Langat, Selangor. - Bernama
KUALA TERENGGANU - Terengganu dilanda banjir gelombang keempat apabila seramai 29 mangsa daripada tujuh buah keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Marang.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS pertama dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Parit mula diaktifkan sejak jam 9 pagi manakala dua lagi PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai dan SK Padang Mengkuang dibuka jam 11 pagi dan 1.50 tengah hari tadi.
"Banjir yang berlaku adalah disebabkan limpahan air sungai berdekatan ke rumah penduduk yang terletak di kawasan agak rendah.
"Ketika ini, situasi agak baik kerana air mulai surut namun penduduk tetap perlu berwaspada kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan hingga esok," katanya.
KUALA TERENGGANU: Terengganu kembali dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.
Banjir gelombang keempat itu bermula hari ini dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Marang.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 24 mangsa daripada tujuh keluarga berada di tiga PPS di daerah berkenaan.
PPS di Dewan Orang Ramai Bukit Parit dibuka jam 9 pagi tadi bagi menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga.
Seramai 6 mangsa daripada dua keluarga pula berteduh di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai yang diaktifkan jam 11 pagi tadi.
PPS di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang dibuka jam 1.50 petang tadi bagi menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga.
Ketika ini, hujan renyai-renyai masih melanda beberapa kawasan di negeri ini dan situasi banjir berlaku disebabkan limpahan air sungai ke kawasan kediaman penduduk.
Sementara itu, dua sungai direkodkan melepasi paras amaran dan lima paras waspada.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 20.26 meter (m) berbanding paras normal 17 m.
Turut melepasi paras amaran ialah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 2.13 m berbanding paras normal 1 m.
Selain itu, lima sungai merekodkan paras waspada ialah dua di Hulu Terengganu serta masing-masing satu di Setiu, Kuala Nerus dan Dungun.
Di Hulu Terengganu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu merekodkan bacaan 19.06 m dan Sungai Telemong di Kuala Ping pula berada pada paras 18.25 m.
Tiga lagi yang melepasi paras waspada ialah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (10.94 m); sungai di parit utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.5 m) dan Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (37.46 m).
Kuala Terengganu: Tujuh sekolah di dua daerah negeri ini terpaksa ditutup akibat dinaiki air berikutan hujan lebat, sejak malam tadi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT) Jelani Sulong berkata, daerah terbabit termasuk Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.
Beliau berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) Sheikh Abdul Malek; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman; SK Gelugor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, SK Kedai Buloh dan SK Lubuk Periuk.
"Tujuh sekolah tidak dapat beroperasi dan diberi cuti bencana kerana kawasan sekolah atau laluan ke sekolah dinaiki air.
"Untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), JPNT sudah bersiap sedia dan akan menggerakkan Ops Payung sekiranya keadaan semakin buruk," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Kuala Terengganu mendapati beberapa lokasi termasuk Jalan Sultan Omar, Jalan Pusara, Kuala Ibai dan Cabang Tiga, dinaiki air.
Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
KUALA LUMPUR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda empat negeri sehingga jam 9 malam ini. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, keadaan hujan lebat diramal di Perak, Selangor, Melaka dan Johor.
Di Perak, katanya, membabitkan di Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim; Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak di Selangor; Melaka (Jasin); selain Tangkak, Muar dan Batu Pahat di Johor.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
