KPM siap siaga hadapi bencana banjir
- Admin UKK
- Berita
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh yang mula melanda ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjadi tanggungjawab rutin kementerian itu bagi mendepani sebarang kemungkinan.
“Kerjasama dengan Nadma antara persediaan terbesar yang biasa kita buat, maknanya menuju ke musim tengkujuh dan persiapan-persiapan lain berkaitan dengan bencana banjir khususnya.
“Sekiranya ada apa-apa isu, kita telah menyiapkan sebahagian besar mekanisme dan pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah sentiasa bersedia khususnya sekolah-sekolah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung persediaan KPM susulan musim hujan yang melanda beberapa negeri.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal merasmikan Pusat Multidimensi di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Nibong Tebal di sini hari ini.
Sekolah terbabit turut menerima sumbangan RM100,000 daripada KPM bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih.
Pusat Multidimensi adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua yang dilaksanakan pengeluar produk tenusu terkemuka selepas projek rintis dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada Jun lalu.Murid yang terpilih berpeluang mengikuti pelbagai program antaranya kelas tuisyen percuma termasuk kelas mengaji serta kelas kerohanian atau kaunseling bagi membantu mengawal tekanan hidup dan emosi. - UTUSAN
5 kampung dilanda banjir di Maran
- Admin UKK
- Berita
MARAN : Lima kampung dan sebuah taman perumahan di Mukim Luit dan Chenor di daerah ini dilanda banjir selepas hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Kampung terbabit ialah Kampung Kuala Sentul, Sri Jaya, New Zealand, Baru Sungai Chedong, Berkat dan Taman Sri Chedung yang mula dinaiki air pada jam 10.50 malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Maran, Kapt (PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan menempatkan sebanyak 145 keluarga membabitkan 559 mangsa.
"Hujan lebat itu turut menjejaskan rumah di kawasan berkenaan serta laluan utama turut digenangi air.
"PPS Kampung Baru Sungai Chedong menempatkan 53 keluarga dan 252 mangsa, Balairaya Kg Berkat, tujuh keluarga dan 26 mangsa, SK Kuala Sentul menempatkan 64 keluarga (207 mangsa) dan Surau Taman Sri Chedong menempatkan 21 keluarga dan 74 mangsa," katanya.
Katanya, agensi penyelamat sedang membuat pemantauan dan menghantar bantuan keperluan asas bencana serta kit makanan kepada mangsa yang terbabit.
"Ketika ini, hujan sudah berhenti dan air mulai surut, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan mendapatkan maklumat terkini terutama berkaitan laluan yang dikhuatiri ditenggelami air yang boleh mengancam keselamatan," katanya.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat,Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran (JPBD Maran / Negeri Pahang , Angkatan Pertahanan Awam Daerah Maran / Negeri Pahang dengan menelefon 09-2995 991. -
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti syor untuk mewartakan pingat khidmat khusus anggota penyelamat yang terbabit dalam misi kemanusiaan sebagai Pingat Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata secara prinsipnya perkara itu sudah dipersetujui dan ketika ini pihak yang berkenaan sedang memuktamadkan prosesnya dengan Bahagian Istiadat, Istana Negara.
Katanya, selepas selesai, anugerah Pingat Khas ini akan dinaik taraf sebagai Pingat Persekutuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada anggota kerajaan khususnya pasukan beruniform yang terbabit dengan mana-mana misi menyelamat ditetapkan kerajaan.
Katanya, pada masa ini Pingat Khas yang diberikan hanya sekadar di peringkat dalaman yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Secara dasarnya cadangan ini telah dipersetujui di peringkat Kabinet dan bagi permulaan kita menganugerahkan Pingat Khas ini terlebih dahulu kepada anggota yang terlibat," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Pingat Khas Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana, di sini hari ini.
Seramai 250 anggota yang terbabit dalam misi itu di Gaziantep,Turkiye, Februari lalu menerima Pingat Khas.
Sebelum ini Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya semua petugas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berkhidmat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria diberikan elaun khas, sijil penghargaan serta pingat khidmat khusus sebagai menghargai pengorbanan serta komitmen petugas terbabit.
Anggota yang terbabit dalam misi itu terdiri daripada SMART, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Armizan berkata, anugerah julung kali itu menjadi satu pembaharuan dilakukan Kerajaan Perpaduan.
"Kita juga bercadang dan sedang mengkaji untuk memberikan pengiktirafan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam misi kemanusiaan," katanya. BERITA HARIAN
PUTRAJAYA, 25 Julai – Seramai kepada 248 anggota terdiri pelbagai anggota badan beruniform dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) menerima pingat khas dalam Majlis Penganugerahan ’Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana’, hari ini.
Majlis yang julung kali diadakan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dalam ucapannya, beliau berkata, pingat itu bagi mengiktiraf peranan disumbangkan oleh wira-wira negara sewaktu berada di Turkiye yang terdiri daripada pelbagai anggota pasukan penyelamat di Turkiye.
Malah, penganugerahan tersebut diberikan selepas pengumuman Perdana Menteri di Parlimen pada 16 Februari yang lalu bagi mengiktiraf peranan yang disumbangkan wira negara.
Pada majlis berkenaan, Azmizan memberitahu kerajaan kini sedang meneliti syor bagi menggazetkan pingat khidmat khusus yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini kepada anggota badan beruniform yang melakukan misi kemanusian dijadikan sebagai pingat persekutuan
Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba II Mohamed Yaacob Yusoff berkata, ini merupakan pengiktirafan yang paling bermakna baginya dalam tempoh 28 tahun perkhidmatannya sebagai anggota badan beruniform.
“Saya pernah menyertai pelbagai misi sepanjang saya berkhidmat, dan ketika di sana ia merupakan antara misi yang paling mencabar memandangkan perlu melakukan misi berkenaan dalam keadaan sejuk sehingga mencecah -16 darjah Celcius.” ujarnya.
Bagi Penguasa Kanan Bomba 1, Mohammad Khairul Jamil, penganugerahan yang diterima adalah pengeiktirafan yang pertama kali diberikan kerajaan kepada anggota bomba yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan misi kemanusian.
“Saya cukup teruja dan sangat menghargai usaha kerajaan yang mengiktiraf usaha kami sepanjang berada di Turkiye Februari lalu.” katanya.- NASIONAL KINI
PUTRAJAYA: Seramai 250 petugas pasukan penyelamat bagi misi bencana di Turkiye pada Februari lalu menjadi kumpulan pertama menerima Pingat Misi Bantuan Kemanusiaan.
Pingat itu pertama kali diwujudkan bagi mengiktiraf dan menghargai jasa, bakti serta pengorbanan anggota-anggota penyelamat yang terbabit misi bencana dan menyelamat di luar negara.
Majlis penganugerahan itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Armizan dalam ucapannya berkata, pingat itu bagi mengiktiraf peranan disumbangkan oleh wira-wira negara sewaktu berada di Turkiye yang terdiri daripada pelbagai anggota pasukan penyelamat.
“Ia termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Katanya, pasukan pertama petugas penyelamat negara mula digerakkan ke Turkiye pada 6 Februari lalu bagi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi di Gaziantep.
Armizan berkata, pasukan penyelamat Malaysia berjaya menyelamatkan lima mangsa yang masih hidup dan mengeluarkan 47 mangsa yang meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berhadapan dengan beberapa cabaran yang agak mencabar antaranya cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta perbezaan bahasa dan budaya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, ATM menghantar seramai 110 orang pasukan perubatan bagi mengendalikan Hospital Medan Malaysia (HMM) bermula dari 15 Februari hingga 23 Mac lalu.
Katanya, seramai 2,415 pesakit berjaya dirawat termasuk 83 kes pembedahan.
“Sumbangan yang dicurahkan ini mengharumkan nama dan melonjakkan lagi imej Malaysia di pentas antarabangsa yang sudah pasti membanggakan kita semua.
“Ia akan menjadi tanda aras kepada Malaysia semasa menyertai SAR di luar negara pada masa akan datang,” katanya - UTUSAN