KUALA LUMPUR: Sejumlah 353 titik panas dikesan di Kalimantan dan 113 titik panas lagi di Sumatera, Indonesia, yang dijangka mengakibatkan jerebu di beberapa negara selatan ASEAN.
Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata trajektori asap jerebu dari Kalimantan akan memberikan kesan kepada beberapa negeri di timur Malaysia.
Katanya, ia juga dijangka berlangsung selama beberapa hari bermula semalam.
"Output Model HYSPLIT menunjukkan ramalan trajektori jerebu bagi tempoh 72 jam bermula jam 0000 UTC (8 pagi) 30 September 2023 sehingga jam 0000 UTC (8 pagi) 3 Oktober 2023.
"Trajektori asap jerebu dari Kalimantan dijangka memberikan kesan jerebu kepada Kuching, Serian dan Samarahan, Sarawak pada pertengahan tempoh ramalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, berdasarkan kepada imej satelit NOAA-20 pada 30 September 2023 yang direkodkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC), tiada bilangan titik panas bagi kategori High Confidence Level direkodkan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Namun di Kalimantan menunjukkan 353 titik panas manakala di Sumatera terdapat 113 titik panas dikesan," katanya.
Sementara itu menurut ASMC, kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan berpunca dari titik panas yang dikesan di bahagian selatan Sumatera dan ia diperhatikan bergerak ke arah barat laut.
"Berdasarkan imej satelit terkini (semalam), titik panas bertaburan dikesan di bahagian selatan Kalimantan dan Sumatera manakala beberapa titik panas dikesan di Sulawesi, Jawa dan Kepulauan Sunda Kecil.
"Di Kalimantan, jerebu asap sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Selatan dan sebahagian besar Kalimantan Tengah. Jerebu juga diperhatikan bergerak ke timur laut dan ke Kalimantan Timur," katanya.
ASMC berkata, stesen kualiti udara di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta di Kalimantan Tengah melaporkan tahap tidak sihat. - BERITA HARIAN
Alor Setar: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di daerah Kubang Pasu berikutan banjir kilat yang melanda hari ini.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS itu menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Nangmah dan Kampung Paya Nongmi di Changlun.
Beliau berkata, PPS itu dibuka jam 6 petang susulan hujan lebat menyebabkan kawasan terbabit terjejas banjir kilat.
"Mangsa banjir membabitkan empat lelaki dewasa, lima wanita dewasa, kanak-kanak (10), warga emas (dua).
"Hujan renyai melebihi lapan jam di daerah Kubang Pasu menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air.
"Trend air sungai kini semakin menaik," katanya. - HARIAN METRO
Changlun: Perubahan cuaca yang mengakibatkan hujan lebat disebabkan bermulanya tempoh peralihan Monsun yang dijangka berterusan dari pertengahan September hingga November ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, keadaan ribut berterusan di negeri-negeri utara dijangka berterusan sehingga esok.
Beliau berkata, keadaan ini berpotensi menjana ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang untuk tempoh berpanjangan di negeri-negeri utara termasuk kawasan pantai.
"Selepas esok, kita menjangkakan keadaan cuaca bertambah baik.
"Bagaimanapun, penting untuk mengambil perhatian bahawa pada musim peralihan ini, cuaca di negeri utara akan kekal lembap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad Khalil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa merujuk kepada laporan cuaca yang sahih daripada jabatan itu.
"Banjir kilat, lonjakan air, pokok tumbang, tanah runtuh dan kerosakan infrastruktur boleh berlaku pada masa ini.
"Orang ramai perlu kekal di dalam rumah, dan meletak kenderaan masing-masing di tempat yang lebih tinggi, selain menjauhi talian elektrik, dan elakkan daripada memasuki air banjir," katanya. -HARIAN METRO
SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan telah mengarahkan semua balai bomba di negeri ini untuk melakukan pemantauan 24 jam situasi banjir di negeri ini yang juga sebagai langkah menghadapi fasa peralihan monsun yang telah bermula.
Pengarahnya, Abdul Khair Osman berkata, selain itu, seramai 1,221 orang anggota bomba di negeri ini juga telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran hujan lebat yang sering melanda ketika ini.
“Kesemua 20 buah balai bomba di seluruh negeri ini akan melaksanakan pemantauan banjir 24 jam susulan hujan lebat yang sering berlaku ketika ini.
“Seramai 1,221 orang anggota bomba termasuk 350 bomba sukarela juga akan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Khair turut menasihatkan penduduk setempat agar sentiasa berwaspada dengan maklumat terkini dari Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Penduduk perlu berpindah segera sekiranya air sungai mula melimpah terutamanya kediaman yang terletak berhampiran sungai.
“Mereka juga tidak digalakkan bermandi-manda di kawasan air terjun terutamanya semasa dan selepas hujan serta mengehadkan aktiviti menjaring ikan di kawasan berisiko,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu memberitahu, terdapat sebanyak 17 lokasi berisiko insiden kepala air yang dikenal pasti di negeri ini. -UTUSAN