OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

NADMA mahu anggota SMART kekal di agensi

PUCHONG: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mencadangkan satu mekanisme kepada kerajaan bagi membolehkan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terus kekal berkhidmat di agensi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sendiri akan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menyelaras mekanisme itu.

Beliau berkata, mengikut persefahaman antara NADMA dan organisasi asal, anggota SMART perlu kembali kepada perkhidmatan asal mereka selepas lima tahun berkhidmat di agensi itu.

“Bagi tempoh tertentu, mereka harus kembali ke organisasi asal dan ini dipanggil RTU (return to unit). Itu syaratnya.

“Tetapi masalahnya mereka (anggota SMART) yang ada di sini telah dilatih dan berpengalaman. Kalau kita nak ambil anggota baharu, latihan baharu perlu dibuat.

“Orang lama (anggota SMART) itu telah dilatih dan sudah ada pengalaman terutama yang sudah dihantar ke lokasi bencana di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 NADMA di sini, hari ini.

Ketepikan perbezaan politik dalam uruskan banjir, bencana - Zahid

Puchong: Kerajaan negeri terutama diperintah pembangkang dinasihatkan supaya mengenepikan perbezaan politik dalam urusan banjir dan bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata tanggungjawab berkaitan pengurusan bencana tidak wajar hanya diletakkan di bahu kerajaan pusat semata-mata.

"Apa (pengurusan banjir dan bencana) yang kita lakukan ini harus terjalin antara kerajaan pusat dan negeri termasuk di peringkat daerah.

"Ini bukan hanya soal tebatan banjir tetapi soal pengurusan bencana. Untuk itu kita harus ketepikan warna politik berbeza, terutama negeri-negeri yang tidak sama dengan kerajaan pusat," katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun 2024 bersama Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Markas SMART NADMA Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah NADMA Datuk Khairul Shahril Idrus.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil tanggungjawab bersama dengan kerajaan pusat dalam soal dalam pengurusan banjir dan bencana.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyifatkan Kerajaan Persekutuan menerusi NADMA memilih untuk bersikap 'buta warna' (tidak memilih warna parti) dalam soal bencana dan banjir terutama dalam agihan bantuan.

"Adalah lebih baik negeri itu memberi respon dan bertanggungjawab segera kepada apa juga operasi kita lakukan ketika bencana," katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, mekanisma koordinasi dan kompetensi pemegang taruh dalam pengurusan bencana kini giat dilaksanakan menerusi sesi libat urus dan koordinasi melalui bengkel Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Alhamdulillah, pengurusan bencana di negeri terbabit kita perhatikan sewaktu musim Monsun Timur Laut 2023/2024 sekarang ini berjalan dengan baik sekali," katanya.

Katanya, beliau faham bahawa penyediaan dana untuk pengurusan bencana masih menjadi salah satu cabaran yang besar malah, ia membabitkan kos tinggi.

Dalam hal ini, katanya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan komitmen sewajarnya dengan memperuntukkan sebanyak RM11.8 billion bagi melaksana 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi di beberapa negeri.

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada mulai esok hingga Rabu ini di beberapa daerah di Sarawak dan Sabah. 

Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata di Sarawak, cuaca itu diramal di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu dan Dalat).

Di Sabah, katanya, ia membabitkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabarabgan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.

"Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan. 

"Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam," katanya.

Beliau juga berkata, amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam. 

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut," katanya.

 
 

MISI PASCABANJIR DIGERAK UNTUK BANTU MANGSA BANJIR - TPM

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Agensi kerajaan di semua peringkat akan menggerakkan misi pascabanjir dalam usaha mempermudah urusan setiap mangsa di negeri terjejas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata gerak atur misi pascabanjir akan dilaksana  dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia serta agensi kerajaan yang lain. “Lazimnya permasalahan yang berlaku adalah selepas bencana. Dalam soal ini, ramai bantu ketika berlaku bencana tetapi tak ramai membantu selepas itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pulau Meranti hari ini. Ahmad Zahid juga berkata bantuan kewangan untuk mangsa banjir hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS). “Dari segi bantuan ihsan untuk mangsa banjir,  NADMA melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat daerah lazimnya memiliki nama yang disenaraikan mengikut mereka yang dipindahkan ke PPS tetapi kerap kali bila pembayaran ingin dibuat, mereka yang tidak dipindahkan ke PPS juga mahukan bantuan,” katanya. Ketika berucap, beliau meminta aspek pengurusan komunikasi krisis dan strategik dipertingkat di setiap lapisan pengurusan bencana kerana komunikasi berkesan adalah kunci utama terhadap usaha yang dilakukan.

'Kerajaan negeri, PBT perlu ambil tanggungjawab bersama dalam pengurusan bencana'

CYBERJAYA: Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam soal pengurusan bencana negara.

 
-ADVERTISEMENT-
 
 
Ads by
 
 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mereka tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya tanggungjawab berkaitan pengurusan bencana dibahu kerajaan Pusat semata-mata.

Mengambil contoh agihan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir, beliau menjelaskan, ada beberapa negeri dan PBT lewat dalam memberikan maklum balas bagi memenuhi keperluan operasi yang sudah ditetapkan.

"Soal kerjasama dengan kerajaan negeri, selama ini ada kalangan kerajaan negeri menganggap soal banjir dan bencana ini adalah tanggungjawab kerajaan Pusat.

"Kerjasama harus terjalin antara Pusat, negeri dan PBT. Ini bukan dalam soal (pelaksanaan projek) tebatan banjir saja, tapi pengurusan bencana. Kita kena ketepikan politik yang berbeza ini.

"Kami di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pusat, kita buta warna (terhadap sokongan politik kepartian), tapi adalah lebih baik jika negeri dapat berikan maklum balas dan tanggungjawab segera terhadap segala operasi yang kita lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri bersama NADMA di Markas SMART di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sama juga dalam soal pengurusan bencana selepas banjir di mana usaha itu seharusnya digerakkan semua agensi baik dari negeri dan PBT terutama bagi kerja-kerja pasca banjir.

"Ini hal bantuan, permasalahan berlaku selepas bencana. Dalam soal ini, membantu ketika sedang berlaku bencana ada, tapi tak ramai bantu selepas pasca bencana.

"Untuk itu, perlu gerak atur terus dilakukan antara bomba, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan beberapa agensi negeri dan daerah. Kita juga memobilisasikan khidmat NGO (badan bukan kerajaan) yang gerakkan sukarelawan mereka untuk bantu mangsa selepas banjir," katanya.

Dalam pada itu, permasalahan lain yang wujud, kata beliau apabila ramai mangsa banjir yang tidak berpindah atau berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS) turut memohon bantuan wang ihsan banjir.

"Bantuan wang ihsan NADMA melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, lazimnya nama disenarai mengikut mereka yang dipindah ke PPS, tetapi kerap kali bayaran dibuat kepada mereka yang tidak pindah pun. Ramai yang bising, datangnya pun daripada kumpulan ini.

"Saya juga terima maklumat peruntukan itu datangnya dari Kerajaan Persekutuan, tapi ada keadaan di mana bantuan itu hanya diberikan mengikut warna (penyokong parti politik) tertentu saja dan ini harus dihentikan," katanya.

 
 
 
 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search