OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Kebakaran gudang karpet: Operasi pemadaman masih berjalan

NILAI: Operasi pemadaman kebakaran melibatkan sebuah gudang karpet di Nilai 3 masih lagi berjalan. Tinjauan setakat ini mendapati ruangan udara di sekitar kawasan kebakaran masih lagi terjejas dengan kepulan asap tebal.

Difahamkan, masih terdapat kebakaran kecil di ruangan dalam gudang ekoran beberapa bahan yang mudah terbakar selain susunannya secara bertingkat.

Setakat ini, operasi pemadaman turut melibatkan bantuan daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Selangor.

Hasil pemerhatian Buletin TV3, kebakaran turut merebak ke sebahagian kecil ruangan di sebelah gudang yang juga lokasi parkir kenderaan.

Bagaimanapun tiada sebarang kenderaan mahupun korban nyawa dilaporkan setakat ini.

Terdahulu, gudang karpet berkeluasan 700 kaki kali 500 kaki persegi dilaporkan terbakar dalam kejadian sekitar jam 8 pagi hari ini.

Api marak di lokasi dan kebakaran menyebabkan kepulan asap serta dapat dilihat dari jauh, malah turut dirakam penduduk di sekitar daerah ini.

Setakat ini punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti.

 

Hujan lebat lebih panjang di Pantai Timur, utara Semenanjung bermula esok

PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia dijangka mengalami ribut petir berserta hujan lebat yang menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang bermula selama enam hari bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisi terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula pada 22 sehingga 27 Februari 2025.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat yang menyeluruh dalam tempoh yang lebih panjang di Kelantan, Terengganu dan utara Semenanjung.

“Pada masa yang sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hisham berkata, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 24 sehingga 27 Februari 2025.

“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Lima sekolah Sarawak belum dapat beroperasi ekoran bencana banjir

KUCHING, 21 Feb: Lima sekolah di Sarawak masih belum dapat beroperasi secara bersemuka akibat kerosakan fasiliti, peralatan dan asrama selepas terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata keadaan masih tidak berubah setakat ini, dan pihaknya sedang berusaha untuk mempercepatkan proses pemulihan bagi membolehkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dengan kerjasama pelbagai pihak sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta menyediakan keperluan dan kelengkapan untuk guru dan murid.

“Proses pemulihan ini melibatkan jaringan dan jalinan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Sukarelawan Skuad Ikhsan MADANI, NGO, PIBG, komuniti dan lain-lain.Malaysian products

“Kami berusaha secepat mungkin bagi memastikan semua keperluan disediakan, namun ia masih bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi banjir terkini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, JPNS telah mengambil langkah mitigasi awal bagi memastikan murid-murid yang terlibat tidak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Beliau berkata murid yang terkesan akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

“Bagi mereka yang menghadapi masalah capaian Internet di rumah atau rumah panjang, guru akan datang menziarahi murid dengan memberikan lembaran kerja atau tugasan.

“Lembaran kerja ini akan dikutip kembali setiap hari, dan laporan PdPR akan dihantar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta dimaklumkan dalam kumpulan bencana JPNS,” jelasnya.

Mengulas tentang isu kepadatan murid dalam kelas di Sarawak, Omar mengaku terdapat sekolah yang mengalami masalah ini, namun ia masih dalam keadaan terkawal.

“Bagi jangka masa pendek, JPNS telah melaksanakan peluasan kelas enrolmen padat, kawalan kemasukan murid Tahun 1 serta perpindahan murid ke sekolah yang lebih sesuai.

“Kami juga mengambil langkah penyuraian murid ke sekolah berdekatan bagi mengatasi masalah kepadatan di sekolah tertentu,” ujarnya.

Tambahnya, bagi jangka masa panjang, JPNS merancang untuk membina bilik darjah tambahan serta sekolah baharu di kawasan yang dikenal pasti mengalami kepadatan murid.

Katanya, projek pembinaan tersebut akan dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.Malaysian products

Menurut Omar, usaha berterusan sedang dijalankan bagi memastikan infrastruktur pendidikan di Sarawak terus ditambah baik demi keselesaan pelajar.

Sementara itu, pihak JPNS akan terus memantau perkembangan sekolah-sekolah yang masih belum beroperasi bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan semua pelajar dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat dan selesa. -TVS

 

Pusat jualan karpet di Nilai 3 musnah terbakar lagi

NILAI: Sebuah pusat jualan permaidani yang pernah musnah terbakar pada 2015, sekali lagi hangus dalam kebakaran di Pusat Borong Nilai 3 di sini, pagi ini.

Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran kilang itu melalui talian MERS 999 daripada orang ramai.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Mohd Amin Mokhtar, berkata sebaik menerima panggilan berkenaan, pasukan operasi bergegas ke lokasi kejadian pada jam 8.01.

"Kami dapati kebakaran memusnahkan kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus berkeluasan 120,000 kaki persegi itu dan tiada sebarang mangsa terbabit dalam kejadian itu.

"Kebakaran dikawal pada jam 8.55 pagi, dengan kekuatan lapan jentera bomba yang terdiri daripada lima unit Fire Rescue Tender, satu unit EMRS, satu unit ALP dan sebuah Water Tanker.

"Operasi pemadaman kebakaran membabitkan 58 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mantin, Seremban 2 dan Rantau serta ibu pejabat Seremban," katanya.

Mohd Amin berkata, agensi lain yang terbabit dalam membantu dan memantau termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Polis Diraja Malaysia.

"Operasi pemadaman masih berjalan meskipun terdapat beberapa risiko seperti runtuhan struktur dan arus elektrik untuk di buat penilaian secara berterusan.

"Punca kejadian dan kerugian dalam siasatan," katanya. Kedai sama pernah musnah sepenuhnya pada 2015 dan ketika ini, pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa dua hari untuk memadam dan melakukan overhaul.

 

Situasi banjir di Pahang, Negeri Sembilan semakin pulih

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Pahang dan Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan positif apabila bilangan mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu menurunan malam Khamis (Feb 20).

Di Pahang, Pengarah Pertahanan Awam Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata jumlah mangsa di negeri itu menurun kepada 49 orang daripada 12 keluarga sehingga 8 malam ini dan ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, Temerloh, yang dibuka hari Khamis.

“Banjir di sekitar Karak yang surut telah mengalir turun ke Sungai Semantan dan melimpah ke kawasan Lanchang menyebabkan berlakunya banjir dan penduduk berhampiran tebing sungai terpaksa dipindahkan ke SK Lanchang,” katanya kepada Bernama.

Katanya sebuah PPS di daerah Bentong yang menempatkan 140 mangsa daripada 47 keluarga ditutup petang tadi selepas mangsa dibenarkan kembali ke rumah masing-masing.

Di Negeri Sembilan, mangsa banjir menurun kepada 84 mangsa daripada 27 keluarga berbanding 101 mangsa (27 keluarga) pada pagi Khamis.
 
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Lt (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata kesemua mangsa merupakan penduduk Ladang Jelebu, Taman Pekan Baru, Taman Bandar Tinggi dan Kampung Sepri.

“Keadaan cuaca pada masa ini baik. Air juga surut, kerja-kerja pasca pembersihan mencapai 95 peratus. Saya jangkakan esok semua mangsa banjir boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari Khamis.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search