OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Lima sekolah Sarawak belum dapat beroperasi ekoran bencana banjir

Lima sekolah Sarawak belum dapat beroperasi ekoran bencana banjir

KUCHING, 21 Feb: Lima sekolah di Sarawak masih belum dapat beroperasi secara bersemuka akibat kerosakan fasiliti, peralatan dan asrama selepas terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata keadaan masih tidak berubah setakat ini, dan pihaknya sedang berusaha untuk mempercepatkan proses pemulihan bagi membolehkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dengan kerjasama pelbagai pihak sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta menyediakan keperluan dan kelengkapan untuk guru dan murid.

“Proses pemulihan ini melibatkan jaringan dan jalinan kerjasama bersama pihak berkuasa tempatan, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Sukarelawan Skuad Ikhsan MADANI, NGO, PIBG, komuniti dan lain-lain.Malaysian products

“Kami berusaha secepat mungkin bagi memastikan semua keperluan disediakan, namun ia masih bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi banjir terkini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, JPNS telah mengambil langkah mitigasi awal bagi memastikan murid-murid yang terlibat tidak ketinggalan dalam pelajaran sepanjang tempoh penutupan sekolah.

Beliau berkata murid yang terkesan akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

“Bagi mereka yang menghadapi masalah capaian Internet di rumah atau rumah panjang, guru akan datang menziarahi murid dengan memberikan lembaran kerja atau tugasan.

“Lembaran kerja ini akan dikutip kembali setiap hari, dan laporan PdPR akan dihantar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta dimaklumkan dalam kumpulan bencana JPNS,” jelasnya.

Mengulas tentang isu kepadatan murid dalam kelas di Sarawak, Omar mengaku terdapat sekolah yang mengalami masalah ini, namun ia masih dalam keadaan terkawal.

“Bagi jangka masa pendek, JPNS telah melaksanakan peluasan kelas enrolmen padat, kawalan kemasukan murid Tahun 1 serta perpindahan murid ke sekolah yang lebih sesuai.

“Kami juga mengambil langkah penyuraian murid ke sekolah berdekatan bagi mengatasi masalah kepadatan di sekolah tertentu,” ujarnya.

Tambahnya, bagi jangka masa panjang, JPNS merancang untuk membina bilik darjah tambahan serta sekolah baharu di kawasan yang dikenal pasti mengalami kepadatan murid.

Katanya, projek pembinaan tersebut akan dilaksanakan menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.Malaysian products

Menurut Omar, usaha berterusan sedang dijalankan bagi memastikan infrastruktur pendidikan di Sarawak terus ditambah baik demi keselesaan pelajar.

Sementara itu, pihak JPNS akan terus memantau perkembangan sekolah-sekolah yang masih belum beroperasi bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkaitan bagi memastikan semua pelajar dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat dan selesa. -TVS

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search