ALOR SETAR: Seramai 227 mangsa daripada 72 keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah terpaksa dipindahkan ke PPS baharu berikutan air naik di kawasan itu, hari ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa dipindahkan ke PPS SK Taman Rakyat bermula jam 6 petang tadi.
Jelasnya, keadaan air yang memasuki perkarangan sekolah itu menyebabkan kesemua mangsa terpaksa dipindahkan segera dengan bantuan polis dan bomba.
“Operasi memindahkan mangsa dilakukan secara berperingkat dan PPS Titi Gajah akan ditutup.
“Situasi banjir di daerah Kota Setar ini agak membimbangkan apabila Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR melimpah ke atas jalan.
“Berikutan itu, mangsa banjir di daerah ini juga semakin bertambah dan PPS baharu juga turut dibuka untuk menempatkan mangsa banjir yang terjejas.
“Saya menasihatkan semua penduduk yang masih belum berpindah dan rumah mereka dinaiki air, segeralah berpindah atau menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan,” katanya ketika ditemui ketika meninjau keadaan banjir, hari ini.
Dalam pada itu, tinjauan di Pantai Johor, Jalan Gunung Keriang dan Anak Bukit mendapati, paras air semakin meningkat antara 0.5 hingga 1.3 meter di atas laluan jalan.
Berikutan itu, beberapa laluan jalan ditutup untuk kenderaan ringan bagi mengelakkan ada yang terkandas di tengah jalan.
Sementara itu, tinjauan juga mendapati, ada penduduk yang berpindah sendiri dari kediaman mereka selepas paras air meningkat dan mengalir deras.
Selain itu, bahagian depan kediaman Menteri Besar Kedah Seri Mentaloon serta laluan jalan hadapan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas juga turut dinaiki air dan diletakkan papan tanda amaran banjir.
Berdasarkan laman Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lima sungai di tiga daerah iaitu masing-masing di Kota Setar, dua di Kubang Pasu dan satu sungai di Padang Terap menunjukkan sudah melepasi tahap bahaya setakat jam 7 petang.
Antara sungai terbabit adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar, manakala Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di Kampung Bata di daerah Kubang Pasu sementara Sungai Perik di daerah Padang Terap.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan seramai 8,252 mangsa daripada 2,514 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS di tujuh daerah.
Jumlah itu dijangka meningkat berikutan ketika ini proses memindahkan mangsa masih dilakukan di kawasan yang terjejas dinaiki air.
NEW DELHI: Penerbangan di Lapangan Terbang Chennai di selatan India terganggu pada Sabtu ketika rantau itu bersiap sedia menghadapi taufan “Fengal”.
Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan dan dilencongkan kerana cuaca buruk yang melanda bandar raya itu.
Lapangan terbang Chennai menggantung operasi dari 12.30 tengah hari hingga 7 malam Sabtu susulan “kebimbangan keselamatan yang dibangkitkan oleh syarikat penerbangan berkaitan,” menurut ramalan Jabatan Cuaca.
“Penerbangan ke dan dari Chennai terjejas akibat cuaca buruk dan hujan lebat,” menurut kenyataan Air India.
Pelbagai kawasan di negeri Tamil Nadu dilanda hujan lebat disertai angin kencang.
Taufan Fengal dijangka melanda daratan berhampiran Puducherry di pantai Coromandel, selatan India.
Kerajaan negeri menutup sekolah dan kolej di daerah Chennai, Tiruvallur, Kancheepuram dan Chengalpet serta meminta syarikat teknologi maklumat membenarkan kakitangan bekerja dari rumah, menurut laporan media tempatan.
Wilayah itu dijangka dilanda hujan lebat dalam tempoh 48 jam akan datang, menurut laporan yang memetik kenyataan Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin.
— BERNAMA
Kuala Lumpur: "Saya berharap dapat membantu seramai mungkin mangsa banjir di Pantai Timur," kata Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 32.
Wira banjir yang kerap mendapat perhatian di media sosial itu berkata, dia kini sedang dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pantai Timur untuk melaksanakan misi bantuan banjir bersama beberapa rakannya.
Katanya, mereka menggunakan lima pacuan empat roda dan dua bot fiber bagi membantu seramai mungkin mangsa banjir di sekitar Pantai Timur.
"Mengikut perancangan, hari ini kami akan terus menuju ke Rantau Panjang (Kelantan) berikutan keadaan di sana lebih serius dan ramai memerlukan bantuan.
"Bagaimanapun, semua bergantung dengan keadaan perjalanan kerana dibimbangi ada laluan yang mungkin ditutup menyebabkan kami terpaksa mengubah perancangan.
"Insya-Allah, saya akan berada di sana selama seminggu sehingga ke dua minggu bergantung juga dengan keadaan banjir di sana.
"Misi utama saya adalah membantu seramai mungkin mangsa banjir yang memerlukan bantuan," katanya.
Jelasnya, untuk misi banjir ini, dia tidak memandu kereta Perodua Viva kerana banjir di sana agak mencabar dan akan menyukarkan pergerakan.
"Viva saya 'rehatkan' di rumah, dan kali ini saya gunakan pacuan empat roda yang akan lebih memudahkan kami untuk bergerak daripada satu ke tempat ke tempat yang lain," katanya.
Katanya, dia sudah merancang untuk pergi ke Pantai Timur lebih awal sebaik mengetahui beberapa kawasan di sana mula dinaiki air namun ditangguhkan dahulu selepas dimaklumkan oleh rakan di sana keadaan masih terkawal.
"Bagaimanapun, selepas melihat keadaan menjadi semakin serius dan menerima banyak Direct Message (DM) hati saya semakin membuak-buak ingin segera ke sana. Saya ambil sedikit masa untuk mengumpul sumbangan kerana tidak mahu menyusahkan penduduk di sana.
"Biarpun sumbangan masih belum mencukupi, saya nekad dan tawakal untuk turun membantu. Insya-Allah kalau ikutkan apa yang saya dah ada ini (sumbangan) cukup untuk menampung perjalanan pergi, makan minum di sana selama dua ke tiga hari di sana." katanya.
Ditanya sama ada usaha ini diambil kerana terbeban dengan popularitinya sebagai wira banjir, Azwan menepis dakwaan itu dengan berkata ia sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu setiap kali banjir besar berlaku.
"Mohon doakan semoga misi bantuan banjir kali ini berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya.
Terdahulu, Abang Viva kembali mendapat perhatian ramai apabila membuat satu hantaran di Facebook baru-baru ini menyatakan akan menjalankan misi bantuan banjir di Pantai Timur sekiranya kos mencukupi dan sedang mengumpul dana untuk memulakan misi itu
Amaran! Hujan lebat hingga esok
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan hingga esok di Kelantan, Terengganu dan Perak.
MetMalaysia dalam kenyataan, hari ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Kelantan khususnya di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu juga diramal mengalami hujan lebat berterusan dalam tempoh sama.
Hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang) dan Terengganu (Dungun dan Kemaman).
Kuala Berang: Kerajaan sudah mengagihkan Dana Banjir sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas di seluruh negara bermula semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bayaran itu akan disalurkan kepada setiap KIR yang memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat juga berharap pengagihan bantuan itu terutama bantuan tunai akan dapat diatur gerak dengan sepenuhnya.
"Untuk bantuan daripada kerajaan Persekutuan selain daripada bantuan bagi penyelamatan, kita mempunyai senarai mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS).