Mahasiswa UTeM ketuai projek pemulihan infrastruktur pasca banjir di Terengganu
- Admin UKK
- Berita
MELAKA – Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengetuai sekumpulan 60 orang mahasiswa dari pelbagai universiti dalam menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun di Kampung Tok Saboh, Besut, Terengganu, baru-baru ini.
Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23, berkata, program ini merupakan inisiatif UTeM bagi menggerakkan semangat kesukarelawanan mahasiswa-mahasiswa pelbagai universiti untuk menjayakan projek khidmat komuniti ini.
Katanya, beliau terpanggil untuk mengetuai misi ini kerana menyelami realiti kegetiran dan kesukaran yang dihadapi penduduk di sana yang tentunya mengharapkan bantuan segera usaha membaik pulih prasarana yang masih terjejas akibat bencana sebelum ini.
Antara aktiviti bantuan pemulihan yang dilaksanakan pemasangan lampu solar, penambahbaikan infrastruktur balai raya dan menyediakan khidmat kesihatan melalui klinik bergerak.
“Pada masa yang sama kami turut mengambil peluang ini dengan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak dan penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.
“Kami beruntung kerana majoriti sukarelawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada mahasiswa dari universiti di bawah rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
“Justeru, agak mudah untuk kami mengaplikasikan kemahiran teknikal secara sistematik dan berfokus bagi melancarkan perjalanan operasi usaha pemulihan infrastruktur ini dengan jayanya,” katanya.
Mengulas lanjut, penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik itu berkata, projek ini bukan sekadar inisiatif sukarelawan biasa, tetapi ia mendapat dokongan penyelidikan di bawah geran yang diketuai oleh Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
“Program ini bersifat praktikal dan berpandukan kajian yang dijalankan, bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan benar-benar menepati keperluan serta kehendak masyarakat setempat dan menjadi platform bagi mahasiswa untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar,” katanya.
Dr Massila berkata, UTeM sentiasa ke hadapan dalam memperkasakan mahasiswanya untuk lebih holistik dan mampan bukan hanya dalam bidang akademik malahan turut memberikan kesan langsung kepada masyarakat.
Inisiatif sebegini adalah selari dan seiring dengan salah satu daripada fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2025 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang menyentuh kepada kemenjadian mahasiswa.
Bukan itu sahaja, uniknya projek sebegini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat, malah turut memperkukuhkan konsep Mahasiswa Madani,” ujarnya. – MalaysiaGazette