BACHOK - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok telah menaikkan bendera merah di Pantai Irama di sini ekoran keadaan laut bergelora serta air pasang sehingga menyebabkan ombak besar.
Pegawai Pertahanan Awam Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin berkata, langkah itu sebagai tanda amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di pesisir pantai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
"Selain Pantai Irama, pengunjung juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan terkini keadaan cuaca ketika berkunjung ke pantai-pantai lain di Bachok seperti di Irama, Melawi, Senok@Nami, Kemayan dan beberapa kawasan lain lagi.
"MTL (Monsun Timur Laut) yang sedang melanda ketika ini boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan termasuk nyawa orang ramai.
"Aktiviti air seperti mandi, pungut hasil pantai, berkelah perlu dihentikan buat sementara waktu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau, hal ini kerana keadaan ombak yang boleh mencecah sehingga satu meter serta air pasang boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung.
Ujarnya, orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa memberi perhatian kepada setiap arahan yang dikeluarkan terutama mematuhi isyarat bendera merah.
Mohd Khairi memberitahu, ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak-anak supaya tidak bermain atau mandi manda di pantai.
"Jika berlaku kecemasan, maklum kepada petugas penyelamat pantai APM (baywatch) berhampiran dengan segera atau hubungi talian kecemasan 999 dan bukannya membuat tindakan sendiri.
“Kepada penduduk yang tinggal di tepi pantai pula perlu peka dengan info semasa terutama melibatkan air pasang besar,” katanya.
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Satu lagi gempa bumi lemah bermagnitud 3.1 pada skala Ritcher berlaku di Ranau menjadikan dua hari berturut-turut kawasan sekitar daerah tersebut dipercayai mengalami gegaran.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi itu berlaku pada jam 10.01 pagi Selasa. Pusat gempa itu dikedudukan 6 darjah Utara dan 116.6 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer (km) iaitu di sekitar 14 km Barat Ranau.
Menurut kenyataan itu lagi, gegaran mungkin dirasai di sekitar Ranau dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan tersebut.
Semalam, gempa bumi lemah bermagnitud 2.8 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Ranau, pada jam 2.56 petang. MetMalaysia dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, gempa bumi tersebut berlaku di 15 kilometer barat Ranau.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Talib berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan di sekitar daerah tersebut susulan kejadian gempa bumi yang berlaku pada pagi Selasa.
"Rondaan dilakukan di sekitar kawasan Pekan Ranau melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau, SMK Mat Salleh dan SMK Kundasang.
"Hasil rondaan mendapati keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM13.23 juta kepada 6,747 pesawah yang terjejas banjir pada tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata bantuan itu adalah untuk kerosakan dan kemusnahan kawasan tanaman berkeluasan 12,800 hektar berdasarkan data yang dikumpulkan setakat Oktober lepas.
Kelantan, Kedah dan Perlis ialah beberapa negeri yang mengalami kesan dan kerugian paling besar akibat bencana yang melanda negara.
“Tabung Bencana Tanaman Padi 2023 sebelum ini sudah menyediakan RM8.38 juta untuk bantu 4,946 pesawah di ketiga-tiga negeri berkenaan melibatkan kawasan musnah seluas 7,400 hektar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Abdul Nasir Idris mengenai nilai bantuan diberi kepada pesawah dan bilangan pesawah yang menerima manfaat daripada tabung berkenaan.
Arthur berkata pada masa sama pihaknya akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa induk esok bagi menilai kerosakan daripada pemohon yang terbabit dengan bencana banjir dari Jun hingga Oktober tahun ini.
“Ia juga melibatkan tiga negeri dan kita setakat ini menganggarkan kerosakan sebanyak RM12.88 juta dan melibatkan 5,817 pesawah, tetapi yang kita maklum gelombang banjir ini datang lagi setiap beberapa fasa.
Mesyuarat hari ini hanya untuk menilai kerosakan dari Jun hingga Oktober dan kita dilanda sekali lagi pada November dan Disember, kita sedang mengumpul data dan buat penilaian kepada gelombang terbaharu ini, (mungkin) mengambil masa sebab kadang-kadang kita kena tunggu air surut sebelum kita boleh buat penilaian dan hal itu pun mengambil masa, katanya.
Beliau berkata pihaknya dijangka mengadakan mesyuarat jawatankuasa induk untuk gelombang terkini pada awal tahun hadapan bagi penilaian dan penyaluran bantuan lanjut.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan selama tiga hari diramal di empat negeri hingga Khamis.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan keadaan cuaca itu diramalkan melanda seluruh Kelantan dan Terengganu manakala Pahang membabitkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin, selain Perak (Hulu Perak).
Menurut METMalaysia, keadaan cuaca sama juga diramal melanda di Sarawak membabitkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah bermula pada Khamis ini hingga Ahad ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – BERNAMA
KOTA BHARU - Sebanyak 113 buah kampung yang terletak di empat daerah di Kelantan diminta berwaspada berlakunya banjir susulan ramalan hujan berterusan pada Rabu hingga Sabtu ini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan empat daerah terlibat ialah Machang, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu, membabitkan kampung terletak di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer (5km) dari Sungai Kelantan.
"Amaran berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan dijangka banjir mengambil langkah waspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa," menurut kenyataan itu.
Berikut senarai kampung dijangka terjejas mengikut daerah:
Machang:
Kampung Pasir Senor, Kampung Pengkalan Kiat, Kampung Kerilla, Kampung Tebing Renoh, Kampung Cina, Kampung Kuala Hau, Kampung Temangan Lama, Temangan, Kampung Bandar, Kampung Pauh, Kampung Telok Choh, Kampung Belukar Panjang, Kampung Padang Kelupang,Kampung Bukit Besi dan Kampung Pertok," katanya.
Pasir Mas:
Kampung Tendong, Kampung Atas Pinggir, Kampung Tal Tujuh, Kampung Kasar, Bandar Pasir Mas, Kampung Lemal, Banggol Chicha, Padang Embun, Tok Buak, Banggol Petaling, Banggol Kemian, Lubuk Chekok, Dangar, Kubang Bemban, Kubang Panjang, Aur China, Slow Machang, Kubang Batang, Kubang Gatal, Sakar, Kubang Bunut, Jias, Pengkalan Batu, Tebing Alor, Kasar, Kelar Tok Pukang, Lubok Tapah, Bendang Pauh, Gelam, Tok Uban, Kekabu, Tanjung Puteri, Jintan, Tikam Batu, Galok, Semuba, Bandar Baru Apam, Lati, Alor Pasir, Kampung Kubang Pak Amin.
Lokasi lain ialah di Kampung Pengkalan Batu, Kampung Slow Machang, Kampung Kubang Bemban, Kampung Kubang Panjang, Kampung Kubang Gatal, Kampung Tok Buak, Kampung Manan, Kampung Hutan Chengal, Kampung Padang Embun, Kampung Pauh (2), Kampung Belukar, Kampung Gaung, Kampung Lati dan Kampung Pohon Buloh.
Tumpat:
Bandar Tumpat, Kampung Chat, Kampung Mak Neralang, Kampung Morak, Kampung Padang Tembesu, Kampung Berangan, Kampung Kok Majid, Kampung Kok Keli, Kampung Kok Pasir, Kampung Sungai Pinang, Kampung Paloh, Kampung Palekbang, Kampung Gerong, Kampung Kelong, Kampung Pasir Pekan dan Kampung Laut.
Kota Bharu:
Sungai Kelantan iaitu di Kok Lanas, Kampung Pantai Kundur, Kampung Semut Api, Kampung Salor, Pulau Pisang Hilir, Kampung Pulau Kundur, Kampung Badang Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 3, Pasir Kota, Kampung Telok Chekering, Kampung Banggol, Kanping Tok Batek, Kampung Kuala Besar, Kampung Kijang, Kampung Keseng, Kampung Beta Hulu, Kampung Kor, Kampung Pulau Panjang, Kampung Padang Enggang, Kampung Tini, Kampung Pasir Jelatang, Kampung Tiong (2), Kampung Mulong, Kampung Penambang, Kampung Tikat, Kampung Bunga Mas, Kampung Redang dan Kampung Bawah Lembah turut dijangka terjejas banjir," katanya. - Bernama