KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil tanggungjawab penuh memulihkan kawasan perumahan di Putra Heights, Subang Jaya yang terjejas dalam kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas pagi tadi.
Memberikan jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk membaiki atau menggantikan kediaman yang rosak.
Menurut beliau, proses tersebut bagaimanapun akan mengambil sedikit masa kerana ia tidak mungkin mampu dipulihkan dalam masa yang singkat.
“Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Dengan itu saya harap (mangsa dan pihak terlibat) jangan bimbang. Cuma dia mengambil masa sedikit (kerja membaiki atau menggantikan kediaman yang terjejas),” katanya.
Perdana Menteri menyatakan demikian selepas mengadakan tinjauan di lokasi kebakaran petang tadi.
Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan bantuan tunai segera berjumlah RM5,000 untuk setiap kediaman yang terjejas sepenuhnya manakala RM2,500 lagi diberikan untuk rumah yang musnah sebahagian.
“Untuk langkah segera, untuk satu, dua hari ini, Petronas, dan kalau perlu Kerajaan Persekutuan, akan lihat keperluan menambah, akan menyediakan bagi rumah-rumah yang rosak sepenuhnya itu diberikan RM5,000 segera supaya mereka dapat belanja sementara. Dan yang terkesan, iaitu 100 lebih lagi (rumah) itu diberi RM2,500.
“Tapi yang lain itu, kita akan kerah seluruh jentera (meneliti) apa kemudahan tempat tinggal yang lebih baik, itu sedang direncanakan,” katanya.
Anwar memberitahu, pihak berkuasa bertanggungjawab meredakan tekanan penduduk terkesan kerana ada kediaman yang musnah sebahagian atau sepenuhnya.
Jelas beliau, mangsa dan penduduk terkesan buat masa ini ditempatkan di Pusat Perlindungan Sementara (PPS) yang didirikan dengan bantuan kerajaan negeri.
“Rumah-rumah ini (yang terjejas), dari perbincangan kita dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Kerajaan Negeri dan PETRONAS, tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa yang terlalu singkat,” katanya. “Jadi sekarang ini, Petronas dengan seluruh pasukan Kerajaan sedang berbincang bagaimana kita mampu mengambil tindakan yang sementara tapi agak munasabah kerana bila ambil masa setahun, dia tak macam banjir yang kadang-kadang seminggu, dua minggu (boleh pulang ke rumah). Ini mungkin setahun atau lebih,” katanya.
Tegasnya, keutamaan ketika ini adalah dari aspek keselamatan dan tindakan pantas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor telah membantu pihak polis, PETRONAS serta kerajaan negeri mengambil langkah segera.
Getaran difahamkan, Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, wakil PETRONAS, PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika melakukan tinjauan itu.
Ditanya mengenai perkembangan terkini kejadian, beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
“Puncanya memerlukan sedikit masa, biar penyelidikan, siasatan yang rapi.
“Keutamaan kita sekarang adalah keselamatan. Nampak setakat ini terkawal, sebab itu saya pilih untuk pergi sendiri ke tempat itu untuk membuktikan bahawa (keadaan) selamat,” katanya.
Perdana Menteri menarik perhatian, semua jentera kerajaan telah diarahkan untuk bermesyuarat serta-merta dan turut mengundang wakil penduduk bagi mendapatkan maklum balas.
Katanya, tragedi yang berlaku hari ini amat berbeza dengan bencana alam lain seperti banjir, kerana ia menyebabkan kerosakan besar dan seluruh kawasan perumahan.
“Jadi menyebabkan perancangan yang lebih teliti (diperlukan). Seperti mana saya tegaskan ia tak boleh selesai dalam beberapa bulan.
“Tapi percayalah, saya akan kerahkan seluruh jentera Kerajaan untuk mengambil tindakan yang sesegera mungkin,” katanya. - Getaran, 1 April 2025
SUBANG JAYA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke kawasan lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda pada jam 2.28 petang itu diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)
Datuk Nor Hisham Mohammad.
Terdahulu, Tengku Amir Shah diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat yang juga komander operasi di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Baginda kemudian meluangkan masa menyantuni mangsa terlibat yang ditempatkan di khemah khas.
JPN akan ditempatkan di PPS, mudahkan urusan mangsa kebakaran hilang dokumen peribadi
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights yang menempatkan mangsa insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya bagi memudahkan pengurusan dokumen peribadi mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata hal ini kerana terdapat mangsa yang dokumen peribadi mereka musnah dalam kejadian yang berlaku pagi semalam itu.
“Kita dapati ada yang keluar (menyelamatkan diri) sehelai sepinggang, tidak mempunyai dokumen seperti kad pengenalan dan sebagainya, jadi kita sedang mengatur untuk mereka (JPN) ada bersama membuka kaunter bagi mereka yang memerlukan,“ katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di PPS itu hari ini.
Noraini berkata pihaknya juga telah menggerakkan kaunselor daripada Yayasan Kebajikan Negara bagi memberi sokongan psikologi kepada mangsa khususnya mereka yang mengalami trauma.
Kebakaran saluran gas: Mangsa syukuri bantuan kerajaan, harap diberi penempatan sementara
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR - Keluarga yang terjejas dengan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights memohon supaya kerajaan dapat memberi penempatan sementara kepada mereka selain bantuan kewangan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh berkata, ini kerana status keselamatan rumah mereka sama ada selamat untuk diduduki atau sebaliknya masih membimbangkan penduduk manakala kos penginapan hotel yang mahal terpaksa ditanggung.
"Kami hanya mahukan rumah sementara untuk berteduh sementara menunggu rumah kami yang terjejas selamat diduduki kerana buat masa sekarang, kami menginap di hotel berdekatan dan kosnya agak mahal untuk jangka panjang.
"Oleh itu, kami sangat mengharapkan agar kerajaan negeri dapat memberikan rumah sementara kepada kami dalam tempoh yang sukar ini,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dari kerajaan pusat, negeri ataupun swasta bagi meringankan beban mereka akibat kerosakan harta benda dan kediaman susulan insiden kebakaran itu.
"Pengumuman hanya dibuat menerusi media namun cara permohonan dan siapa yang layak mendapatkannya kami masih lagi keliru... ramai di sini juga perlukan bantuan dan mahu pulang ke rumah masing-masing namun masih lagi tidak selamat,” katanya.
Bagi Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Woo Wan Heng, pampasan sewajarnya harus diberikan kepada mangsa kebakaran yang rumah mereka sudah tidak boleh didiami susulan insiden itu.
"Kerugian itu bukan sedikit tetapi besar. Bukan setakat rumah tidak boleh diduduki, kereta turut rosak... kami tidak boleh hantar anak-anak ke sekolah dan sukar pergi kerja disebabkan kekangan itu.
"Kami berharap agar kerajaan negeri dan pusat dapat memberikan bantuan sewajarnya bukan setakat dari segi kewangan sahaja tetapi juga dari segi sokongan lain seperti insurans," katanya.
Seorang penduduk, Tengku Sharifah Hajar Tengku Syed Nordin, 72, pula berkata, dia sekeluarga bersyukur dengan bantuan segera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sekurang-kurangnya bantuan yang diberikan dapat meringankan beban kami," katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan dan Petronas menyalurkan bantuan segera RM5,000 kepada pemilik kediaman yang rosak teruk serta RM2,500 kepada mereka yang sedikit terjejas.
Tragedi Putra Heights: JKKP keluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu, 5 Notis Larangan
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu dan lima Notis Larangan pada setiap injap blok di lokasi kejadian kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Subang Jaya.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata sebaik saja insiden itu dilaporkan, JKKP bergegas ke lokasi dan memulakan siasatan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Menurutnya, seksyen itu memperuntukkan tanggungjawab majikan dalam memastikan keselamatan pekerja di tempat kerja.
"Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan ini boleh dikenakan denda RM500,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun," menurut kenyataan itu.
Menerusi kenyataan itu, KESUMA turut meminta majikan memberi pertimbangan baik dengan mengambil kira waktu kesulitan sedang dilalui pekerja yang terjejas dalam kejadian berkenaan, serta meluluskan permohonan berkaitan daripada mereka bagi suatu tempoh yang sesuai.
"Bagi pekerja yang terjejas dan tidak dapat hadir ke tempat kerja dalam tempoh pemulihan, KESUMA menggalakkan mereka memohon kepada majikan untuk Aturan Kerja Fleksibel (AKF) sebagaimana diperuntukkan bawah Seksyen 60P Akta Kerja 1955 dari aspek perubahan waktu kerja, hari bekerja atau tempat bekerja.
"KESUMA juga menyeru majikan sektor swasta untuk mempertimbangkan pemberian cuti ihsan bergaji bagi suatu tempoh yang sesuai supaya pekerja terbabit dapat menguruskan hal berkaitan kerosakan dan kehilangan harta benda mereka," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya lagi, skuad PERKESO Prihatin digerakkan dengan segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Putra Heights dan sembilan hospital sekitar Selangor sebaik saja insiden dilaporkan, bagi memberi bantuan sokongan kepada mangsa yang mengalami trauma serta kesan fizikal akibat kejadian berkenaan.
"PERKESO sudah mengenal pasti mangsa yang merupakan pencarum PERKESO, untuk menerima faedah Skim Keilatan dan sedang dalam proses menguruskan pembayaran.
"Mana-mana pencarum PERKESO yang terbabit insiden itu boleh membuat semakan tuntutan bawah skim perlindungan sosial PERKESO, termasuk faedah Hilang Upaya Sementara serta Hilang Upaya Kekal, tertakluk kepada tahap kecederaan yang dialami," katanya.
Katanya, semakan boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan Talian Khidmat Pelanggan PERKESO melalui 1-300-22-8000.
"KESUMA terus komited membantu menangani insiden ini dengan memastikan langkah-langkah keselamatan dipatuhi serta memberi sokongan kepada pekerja yang terkesan," katanya.
