OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

DUN Terengganu: Bantu segera mangsa hakisan pantai

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu meluluskan segera permohonan bantuan untuk membantu mangsa hakisan pantai yang terjejas teruk semasa musim tengkujuh, baru-baru ini.

Mohd. Shafizi Ismail (Pas-Batu Rakit) berkata, senarai mangsa yang terlibat telah dihantar dalam permohonan rasmi untuk tindakan lanjut bagi meringankan beban kewangan mereka yang terkesan akibat bencana itu.

“Saya mohon perhatian segera oleh kerajaan negeri untuk meluluskan permohonan ini. Selain itu, saya ingin tahu bilakah kerja-kerja baik pulih laluan pantai di Mengabang Telipot ke Batu Rakit yang rosak teruk akibat hakisan  bermula,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau juga mahukan penjelasan terperinci sama ada projek pemecah ombak yang sedang dibina sekarang yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027 akan mampu menyelesaikan isu hakisan tersebut.

Dalam musim tengkujuh tahun lalu, kawasan Batu Rakit adalah lokasi paling teruk terjejas akibat hakisan hingga menyebabkan kerugian besar dalam kalangan pemilik resort, chalet, kedai makan dan kediaman penduduk di pesisir pantai tersebut. – UTUSAN

Penduduk diarah pindah susulan banjir di Tennessee, AS

AMERIKA SYARIKAT: Pihak berkuasa bandar Dyersburg, Tennessee mengeluarkan arahan pemindahan wajib bagi kawasan South Dyersburg selepas Sungai North Fork of the Forked Deer melimpah sehingga ke bahagian South Main Street.

Menurut laporan media tempatan, pasukan penyelamat Daerah Dyer dilihat menjalankan operasi menyelamat di kawasan berhampiran persimpangan South Main Street dan Christie Street. Walaupun beberapa jalan ditutup, pusat bandar Dyersburg masih belum terjejas oleh banjir setakat ini.

Rakaman dron yang dikeluarkan pada Isnin oleh Bandar Dyersburg menunjukkan kru penyelamat membawa seorang wanita dan seorang kanak-kanak ke tempat selamat.

Reuters mengesahkan lokasi rakaman tersebut apabila papan tanda dan susun atur jalan sepadan dengan imejan pandangan jalan dan gambar arkib. Namun, tarikh rakaman tidak dapat disahkan secara bebas oleh Reuters. REUTERS

Lebih 1,000 alami masalah pernafasan akibat ribut pasir

BAGHDAD: Lebih 1,000 orang mengalami masalah pernafasan selepas ribut pasir melanda bahagian tengah dan selatan Iraq, menurut pegawai kesihatan.

Pegawai di wilayah Muthanna memberitahu agensi berita AFP, sekurang-kurangnya 700 kes sesak nafas dilaporkan.

Rakaman yang dikongsi dalam talian menunjukkan kawasan diselebungi jerebu jingga tebal, dengan media tempatan melaporkan gangguan bekalan elektrik dan penggantungan penerbangan di beberapa wilayah.

Ribut debu adalah kejadian biasa di Iraq, namun sesetengah pakar percaya fenomena itu semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.

Orang ramai dan polis memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada debu, manakala pasukan paramedik turut dikerahkan bagi membantu individu yang mengalami kesukaran bernafas.

Hospital di wilayah Muthanna, selatan Iraq, menerima sekurang-kurangnya 700 kes sesak nafas, kata pegawai kesihatan tempatan.

Ribut pasir itu menyelubungi wilayah selatan Iraq dalam awan jingga yang mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang daripada satu kilometer.

Pihak berkuasa terpaksa menutup operasi lapangan terbang di wilayah Najaf dan Basra akibat keadaan cuaca yang teruk.

Keadaan dijangka beransur pulih menjelang Selasa, menurut perkhidmatan cuaca tempatan.

Iraq disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu daripada lima negara paling terdedah kepada perubahan iklim, dengan kejadian ribut pasir, suhu panas melampau dan kekurangan sumber air.

Ribut pasir teruk pada 2022 meragut satu nyawa dan menyebabkan lebih 5,000 orang memerlukan rawatan bagi masalah pernafasan.- BBC

Eropah alami banjir terburuk dalam lebih sedekad pada 2024

BRUSSELS: Eropah mengalami bencana banjir paling meluas dengan hampir satu per tiga sungainya melimpah dalam tempoh lebih 10 tahun pada 2024, menurut laporan pengawasan perubahan iklim Kesatuan Eropah (EU), pada Selasa.

Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus melaporkan kawasan terjejas teruk termasuk Valencia di Sepanyol serta Eropah Tengah dan Timur ketika dunia mencatatkan tahun terpanas dalam rekod.

Banjir dan ribut pada 2024 mengorbankan lebih 300 nyawa, menjejaskan 413,000 penduduk, dan menyebabkan kerugian ekonomi sekurang-kurangnya 18 bilion euro (RM91.5 bilion).

Kira-kira 30 peratus rangkaian sungai Eropah dilanda banjir pada tahun yang mencatatkan antara 10 tahun paling lembap di benua itu sejak 1950, menurut laporan terbaru Copernicus bersama Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hujan yang biasanya turun selama tiga bulan hanya berlaku dalam tempoh lima hari pada bulan September apabila Ribut Boris mengakibatkan banjir besar dan kerosakan meluas di lapan negara Eropah Tengah dan Timur.

Sebulan kemudian, ribut kuat yang terbentuk daripada udara lembap dan panas dari Laut Mediterranean mencurahkan hujan lebat ke atas Sepanyol, menyebabkan banjir teruk yang memusnahkan wilayah timur Valencia.

“Eropah menyaksikan banjir paling meluas sejak 2013,” kata Samantha Burgess dari Pusat Ramalan Cuaca Jarak Sederhana Eropah (ECMWF) yang mengendalikan Copernicus.

Perbezaan ketara dilihat antara Eropah Barat (lebih lembap) dan Timur (lebih kering dan panas) pada 2024. Burgess menjelaskan fenomena ini dipengaruhi sistem tekanan bertentangan, bukan secara langsung oleh perubahan iklim.

Namun, beliau menegaskan ribut tahun lalu mungkin lebih teruk kerana atmosfera panas menampung lebih lembapan.

Eropah memanas dua kali lebih pantas berbanding purata global sejak 1980-an, menjadikannya benua paling cepat panas di Bumi. – AFP

Seluruh negara kecuali Kelantan alami hujan lebat hingga 9 malam

Kuala Lumpur: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang ketika ini melanda hampir semua negeri kecuali Kelantan dijangka berterusan hingga 9 malam ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ia membabitkan sebahagian besar kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Bagaimanapun keadaan sedemikian, hanya sebahagian daerah di Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Menurut maklumat yang dikeluarkan MetMalaysia setakat jam 5.45 petang tadi, keadaan cuaca itu dijangka melanda Perlis; Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah serta Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

"Keadaan sama juga melanda Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak serta Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Begitu juga kawasan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin di Negeri Sembilan dan sekitar Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor," katanya dalam kenyataan di Facebook, petang tadi.

Sementara hanya sesetengah kawasan Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu; (Jerantut dan Bentong) Pahang; Kuching, Serian, Samarahan, Kapit (Belaga), Miri dan Limbang di Sarawak serta Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau), Tawau (Kunak dan Lahad Datu) dan Kudat (Pitas), Sabah mengalami keadaan sama.

Amaran cuaca itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam (mm/j) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search