SOOK: Daerah Sook, Sabah kini menjadi daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam yang menyaksikan kenaikan paras air kini dalam kategori bahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sook, Caroline Benjamin Jiungan berkata, pengisytiharan itu dibuat pada jam 10.30 pagi tadi selain maklum balas yang diterima daripada pelbagai agensi.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Sook,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Keadaan itu juga katanya telah membawa kepada pembukaan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang ditempatkan di Balai Raya Kampung Molosok Dalit.
Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Keningau dalam satu kenyataan juga memaklumkan, pihaknya telah pun mengatur gerak anggotanya bagi memindahkan mangsa banjir yang terjejas ke PPS berkenaan.
Pergerakan itu dibuat mulai jam 5.41 pagi tadi yang tertumpu di kawasan terjejas sekitar Kampung Dalit.
Sementara itu, tinjauan di beberapa kawasan sekitar daerah Keningau turut dilanda banjir dan arus deras semalam antaranya di Kampung Ambual dan Bingkor.
PUTRAJAYA - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menzahirkan penghargaan terhadap tindakan segera Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan ekoran gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini, sambil menyifatkannya sebagai respons yang tepat pada masanya dan memberi kesan besar kepada komuniti terjejas.
Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia atau (SMART) tiba awal di lokasi bencana walaupun ketika cuti sambutan Aidilfitri, dan merupakan antara yang terawal menyertai misi menyelamat.
"Malaysia bertindak pantas menghantar pasukan SMART walaupun dalam tempoh perayaan dan mereka menyelamatkan nyawa.
"Rakyat di lapangan amat menghargai bantuan itu,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini.
Kunugi berkata, tindakan pantas Malaysia, bersama pasukan dari Thailand dan China menunjukkan betapa pentingnya sokongan antara rakyat dan kerjasama serantau ASEAN dalam menghadapi bencana alam.
Beliau yang sebelum ini mengetuai Pejabat Negara dan Wilayah UNICEF di Myanmar berkata, ramai kakitangan UNICEF di negara itu turut terkesan secara langsung, termasuk yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana berkenaan.
Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada Thailand dan China atas bantuan yang diberikan, sambil menekankan bahawa solidariti seperti ini mencerminkan pentingnya kerjasama serantau ketika berdepan krisis.
Dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang melanda Myanmar baru-baru ini, satu kontijen SMART seramai 50 anggota digerakkan ke Naypyidaw untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan mencabar, termasuk gegaran susulan serta kerosakan infrastruktur.
Gempa bumi itu menyebabkan kemusnahan besar, termasuk di Mandalay dan kawasan sekitarnya, dengan lebih 1,600 orang terkorban manakala lebih 3,400 lagi cedera.
Gegaran turut dirasai di luar sempadan Myanmar dan menyebabkan kerosakan struktur serta korban jiwa di negara jiran seperti Thailand, khususnya di Bangkok.
Mengulas impak bencana berkaitan iklim yang semakin meluas di rantau ini, Kunugi berkata, Asia Timur dan Pasifik antara kawasan paling terjejas di dunia, dengan dua daripada setiap kanak-kanak mengalami empat atau lebih bencana iklim ekstrem setiap tahun.
Beliau menegaskan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur dan perkhidmatan ketahanan iklim, khususnya dalam sektor yang memberi kesan langsung kepada kanak-kanak seperti pendidikan, kesihatan, air dan sanitasi.
"Ini termasuk membina sekolah yang tahan banjir, menggunakan tenaga solar di kemudahan kesihatan dan meningkatkan sistem rantaian sejuk untuk vaksin,” katanya.
Kunugi turut menyentuh gangguan pendidikan akibat bencana, merujuk kepada Taufan Yagi tahun lalu yang menyebabkan sekolah-sekolah di beberapa kawasan di Vietnam ditutup selama berbulan-bulan, sekali gus menangguhkan sesi persekolahan kanak-kanak.
Beliau juga berkata bahawa dalam situasi kecemasan, UNICEF turut mempromosikan penubuhan ruang mesra kanak-kanak bagi menyediakan persekitaran selamat, perkhidmatan asas dan sokongan psikososial.
UNICEF akan terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN termasuk Malaysia untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah tindak balas terhadap bencana yang semakin kerap dan teruk.
"Ruang ini menyediakan perlindungan untuk kanak-kanak dan keluarga dengan kemudahan rawatan perubatan, kebersihan dan kaunseling. Dalam situasi yang asing atau sesak, ia sangat penting untuk menjamin keselamatan mereka.
"Perubahan iklim kini sebati bersama kita, dan kita mesti bersedia.
"Tindakan Malaysia di Myanmar bukan sahaja wajar dipuji, malah menjadi contoh kepimpinan dan kerjasama serantau yang perlu diteruskan pada masa depan,” kata Kunugi, yang dilantik sebagai Pengarah Serantau UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik pada Julai 2024. - Bernama
WELLINGTON: Cuaca buruk melanda New Zealand pada Khamis, dengan beberapa kawasan diisytihar darurat berikutan hujan lebat dan angin kencang, lapor Xinhua.
Di Pulau Selatan, hujan lebat menyebabkan banjir, memaksa penduduk dipindahkan dari kediaman mereka.
Menteri Pengurusan Kecemasan dan Pemulihan, Mark Mitchell mengumumkan bahawa bandar Christchurch diisytihar darurat pada sidang media petang Khamis.
Menurut pihak berkuasa cuaca negara, MetService, beberapa kawasan di wilayah Canterbury mencatatkan taburan hujan antara 100 hingga 180 milimeter sejak Rabu hingga tengah hari Khamis, lebih dua kali ganda purata hujan bulanan dalam tempoh singkat itu.
Datuk Bandar Selwyn, Sam Broughton pula berkata darurat diisytihar bagi daerah itu pada 5.39 pagi susulan paras sungai yang meningkat dan nasihat yang dikeluarkan majlis wilayah.
Amaran Merah hanya dikeluarkan bagi kejadian cuaca melampau yang dijangka menyebabkan gangguan besar dan kerosakan.
Di Wellington, kelajuan angin mencecah sekurang-kurangnya 150 km/j di kawasan terbuka dan 118 km/j di kawasan lain, dengan ramalan kelajuan maksimum sehingga 140 km/j pada awal petang Khamis.
Semua penerbangan di Lapangan Terbang Wellington dibatalkan sekurang-kurangnya sehingga 6 petang.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa akibat cuaca buruk itu. – BERNAMA-XINHUA
WELLINGTON: New Zealand terpaksa menutup sekolah dan membatalkan penerbangan selepas angin kencang dalam tempoh lebih sedekad melanda ibu negara hari ini.
Keadaan itu turut menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Selatan diisytihar darurat selepas hujan lebat selama 24 jam.
Menurut ramalan cuaca kerajaan, purata kelajuan angin di Wellington mencecah sehingga 87 kilometer sejam – tertinggi sejak tahun 2013 – manakala tiupan angin kencang di pantai Baring Head mencapai 160 kilometer sejam.
Amaran angin tahap tertinggi dikeluarkan untuk Wellington.
“Ini jelas lebih teruk daripada hari berangin di Wellington. Beberapa jalan ditutup di pelbagai kawasan,” kata jurucakap jabatan pengurusan kecemasan wilayah, Dan Neely.
Jabatan itu menasihatkan orang ramai agar kekal di rumah dan memastikan perabot luar dipasang atau disimpan dengan selamat.
Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wellington dibatalkan, manakala perkhidmatan feri antara Pulau Utara dan Pulau Selatan turut digantung sementara.
Beberapa sekolah dan Universiti Victoria di Wellington ditutup hari ini, susulan cuaca ekstrem itu.
Menurut agensi ramalan cuaca, MetService, keadaan angin kencang dijangka berterusan hingga awal pagi Jumaat.
Di Pulau Selatan, hujan lebat memburukkan lagi keadaan di wilayah Canterbury, memaksa darurat diisytiharkan susulan banjir dan paras sungai meningkat.– AGENSI
KOTA BHARU: Isu pencemaran air Sungai Rasau di Pasir Puteh sehingga menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Wakaf Bunut dihentikan, kini sudah selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, pencemaran berlaku hanya membabitkan beberapa hari sahaja.
“Isu pencemaran air sungai berlaku disebabkan racun ikan namun selepas beberapa hari, air sudah boleh digunakan semula.
“Namun mengikut prosedur, kita perlu mengambil sampel air untuk dibuat ujian di makmal dan selepas seminggu sudah tiada apa-apa dan LRA Wakaf Bunut kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Tabung Kebakaran di Kampung Kijang, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan, terdapat gangguan kualiti air mentah akibat pencemaran di muka sauk LRA Wakaf Bunut, Pasir Puteh, pada 11 April.
Menurut AKSB, atas faktor keselamatan dan keperluan semakan lebih terperinci, pihak SPAN memaklumkan loji tidak boleh beroperasi atau menghentikan tugas untuk sementara waktu.
Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata pihaknya sedang berusaha meningkatkan kecekapan bagi mengesan kebocoran paip untuk memudahkan tindakan diambil.
“Penghasilan air tidak berhasil (NRW) disebabkan tiga faktor iaitu kecurian, paip pecah dan meter tersumbat.
“Justeru, jika kita ada kecekapan untuk kesan lokasi paip yang bocor, tindakan lebih cepat dapat diambil.
“Hingga kini sepanjang 3,200 kilometer (km) paip air dalam proses untuk ditukar bagi mengurangkan NRW dan sudah tentu ia mengambil masa yang lama.
“Ini kerana dalam tempoh setahun, kita hanya dapat melakukan penukaran paip sepanjang 150km sahaja. Jadi, penting untuk kita tingkatkan skuad yang ada bagi mengesan paip bocor,” katanya lagi.
