PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Kenyataan Media

TRANSFORMASI DIGITAL NADMA: 98 PERATUS BANTUAN WANG IHSAN (BWI) BERJAYA DIPROSES DALAM TEMPOH KURANG 14 HARI

KENYATAAN MEDIA TRANSFORMASI DIGITAL NADMA: 98 PERATUS BANTUAN WANG IHSAN (BWI) BERJAYA DIPROSES DALAM TEMPOH KURANG 14 HARI

1. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melakar pencapaian signifikan dalam reformasi penyampaian perkhidmatan awam apabila berjaya memproses 98.49 peratus permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 setakat 21 Januari 2026.

2. Sebanyak RM78.342 juta telah dibayar terus kepada 78,342 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan sejak MTL bermula pada 13 November lalu. Transformasi ini menyaksikan tempoh pembayaran BWI dipendekkan secara drastik kepada purata kurang 14 hari bekerja pada episod 1-2 MTL dan pada episod MTL seterusnya purata kurang 3-7 hari bekerja selepas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup berbanding proses sebelum ini yang lazimnya mengambil masa lebih 6 bulan.

3. Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama strategik antara NADMA, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui inisiatif pendigitalan mengunakan aplikasi MyIBJKM di bawah agenda Kerajaan MADANI. Aplikasi MYIBJKM hanya boleh mengimbas kod QR unik Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan yang mempunyai perimeter geofencing 60 meter, agar hanya mangsa dari kediaman terkesan yang ke PPS tersebut sahaja boleh mengimbas kod QR dan memohon BWI. Bukti pendaftaran dan permohonan BWI kini di tangan pemohon yang tersimpan dalam aplikasi MyIBJKM (pengesahan digital mangsa bencana dan ruangan klik BWI berwarna hijau).

4. Setiap mangsa yang layak menerima bantuan RM1,000 (samada menetap atau tidak di PPS) akan menerima notifikasi SMS memaklumkan samada bantuan dikreditkan terus ke akaun pemohon atau hadir untuk kutipan tunai di kaunter BSN (bagi mereka yang tiada nombor akaun atau butiran akaun salah/tidak lengkap). Kaedah ini dilaksanakan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan keperluan dokumen fizikal serta pengesahan yang berlapis-lapis di pelbagai peringkat.

 

Penyelesaian Isu Kuiri dan Pendaftaran Luar PPS

5. Bagi memastikan tiada mangsa yang tercicir, NADMA sedang memberi tumpuan untuk menyelesaikan baki permohonan yang berstatus kuiri atas beberapa faktor antaranya terdapat pemohon bukan dari rumah kediaman persendirian, alamat yang sama oleh pemohon berlainan, maklumat ahli keluarga yang tidak lengkap, dan permohonan berganda daripada ahli isi rumah yang sama. Bayaran akan diselesaikan segera sebaik sahaja pemohon mengemas kini MyIBJKM maklumat dan alamat (seperti di bil utiliti).

6. Bagi mangsa banjir yang tidak sempat ke PPS, NADMA menyediakan kaedah alternatif dan telah mengarahkan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk membuka Pusat Pendaftaran Mangsa (PPM) di lokasi-lokasi yang dikenalpasti oleh JPBD.

7. Permohonan masih boleh dibuat dan tetap menggunakan aplikasi MyIBJKM. Pemohon perlu membawa bersama dokumen seperti laporan polis, gambar rumah terkesan, bil utiliti, serta salinan kad pengenalan semua ahli rumah yang duduk bersama bagi melancarkan proses imbasan kod QR unik di lokasi dan tempoh yang ditetapkan oleh JPBD.

8. Justeru, NADMA memohon kerjasama daripada wakil komuniti seperti penghulu atau ketua kampung untuk menghimpunkan komuniti terkesan dan menyemak dengan JPBD untuk pendaftaran di PPM supaya tiada lagi mangsa tercicir.

9. NADMA terus komited untuk memperkukuh sistem pengurusan bencana negara melalui pendekatan digital. Kejayaan pelaksanaan ini menjadi penanda aras baharu dalam penyampaian bantuan pasca bencana. Pelaksanaan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan bantuan kepada mangsa bencana dapat disampaikan dengan lebih pantas, telus dan berkesan demi meringankan beban rakyat yang terkesan. Mangsa disantuni, bantuan diberi, sedekad NADMA berbakti.

10. Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai BWI, pemohon boleh menghubungi talian NADMA di 03-8870 4852 atau 03-8870 4813, atau melalui e-mel rasmi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

INFO TAMBAHAN:

• Tanggungjawab pemohon melengkapkan MyIBJKM. Hanya 1 KIR dari keluarga yang terkesan dengan bencana sahaja yang perlu membuat pendaftaran mangsa dan permohonan BWI menerusi aplikasi MyIBJKM.

• Pemohon hanya perlu hadir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan kediaman (kaedah geo-fencing 60 meter) untuk mengimbas kod QR unik bagi proses pendaftaran mangsa dan permohonan BWI dalam aplikasi tersebut. Pendekatan ini mengurangkan proses kerja pengesahan berlapis di peringkat negeri dan daerah sebelum ini sekaligus mengelakkan berlakunya karenah birokrasi.

• Tindakan segera yang perlu dibuat oleh mana-mana pemohon yang didapati berstatus Permohonan Dikuiri adalah membuat kemas kini informasi di dalam aplikasi MyIBJKM di ruangan alamat supaya selari dengan bil utiliti (elektrik/air). Ini bagi mengelakkan alamat berulang digunakan oleh pemohon lain. • Pemohon juga perlu memastikan kolum Permohonan BWI di dalam aplikasi MYIBJKM berwarna hijau barulah permohonan dapat diproses.

• Pemohon yang permohonannya dikuiri akan menerima SMS NADMA untuk membuat pembetulan segera makluman di dalam aplikasi.

• Manakala pemohonan yang berjaya pula akan menerima SMS BSN pemakluman kaedah bayaran sama ada terima secara EFT ke akaun yang didaftarkan ataupun tuntutan tunai di kaunter BSN.

• Bagi Pusat Pendaftaran Mangsa (PPM) dokumen-dokumen seperti laporan polis, gambar rumah terkesan, bil utiliti, serta salinan kad pengenalan semua ahli rumah yang duduk bersama diperlukan sebelum boleh dibenarkan mengimbas kod QR PPM berbanding PPS yang tidak memerlukan sebarang dokumen.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search