Jerebu boleh menjejaskan kesihatan, terutama kepada kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan. Justeru, kesiapsiagaan perlu bermula lebih awal.
Semak maklumat dan bacaan kualiti udara daripada sumber rasmi, lindungi diri dengan mengurangkan pendedahan kepada udara tidak sihat, kenal pasti keperluan ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus serta sentiasa ikuti arahan pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, pantau aktiviti pembakaran terbuka dan elakkan sebarang aktiviti yang boleh meningkatkan risiko jerebu.
KENALI PUNCA JEREBU
- Admin UKK
- Infografik dan Poster
Jerebu bukan sahaja berpunca daripada faktor cuaca, malah boleh berlaku akibat aktiviti manusia yang menghasilkan asap dan bahan pencemar.
Pembakaran terbuka, kebakaran hutan dan tanah gambut, aktiviti perindustrian serta pelepasan asap kenderaan boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Keadaan cuaca panas dan kering pula meningkatkan risiko kebakaran serta menyebabkan asap lebih mudah terperangkap di kawasan sekeliling.
Kenali punca jerebu dan elakkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara. Bersama-sama kita memainkan peranan dalam menjaga kualiti udara dan keselamatan komuniti
JEREBU: JANGAN TUNGGU, BERSIAP SEDIA
Jerebu bukan sekadar udara yang kelihatan berkabus. Apabila kualiti udara terjejas, kesihatan dan aktiviti harian juga boleh terkesan.
Apa yang boleh kita lakukan?
• Peka dengan keadaan dan kualiti udara di kawasan masing-masing.
• Kurangkan aktiviti luar apabila keadaan udara tidak sihat.
• Lindungi golongan yang lebih terdedah, termasuk kanak-kanak dan warga emas.
• Pastikan keluarga mengetahui tindakan yang perlu diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.
• Ikuti maklumat dan arahan daripada sumber rasmi.
• Elakkan menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
NADMA mengingatkan: kesiapsiagaan tidak bermula ketika keadaan sudah kritikal. Ia bermula dengan mengetahui risiko, membuat persediaan dan bertindak lebih awal.
Untuk nasihat dan panduan khusus berkaitan kesihatan akibat jerebu, rujuk panduan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
SIAGA BENCANA TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Kesiapsiagaan bencana bukan sekadar tindakan ketika kecemasan berlaku. Setiap individu perlu tahu apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas bencana.
Kenalpasti risiko di kawasan anda, sediakan beg kecemasan, ketahui laluan pemindahan dan sentiasa ikuti arahan pihak berkuasa.
Semasa bencana, kekal tenang dan utamakan keselamatan. Selepas bencana pula, pastikan kawasan selamat, laporkan kerosakan dan bantu mereka yang memerlukan.
Kesiapsiagaan bencana bukan hanya tanggungjawab orang dewasa. Dengan pendedahan dan latihan yang betul, anak-anak juga mampu mengetahui langkah keselamatan asas untuk melindungi diri ketika berlaku kecemasan.
Ajar mereka menghafal nombor kecemasan, mengenali laluan keluar, mengetahui lokasi berkumpul yang selamat, sentiasa bertenang, mematuhi arahan orang dewasa serta mengenali beg kecemasan keluarga. Pengetahuan mudah ini dapat membantu mereka bertindak dengan lebih yakin dan selamat sekiranya berlaku bencana.
Mulakan didikan kesiapsiagaan dari rumah kerana setiap anak yang bersedia hari ini berpotensi menjadi wira yang melindungi diri dan membantu orang di sekeliling pada masa hadapan.
