RANTAU PANJANG: Beberapa kampung di kawasan rendah di sini mula dilanda banjir sejak malam tadi.
Antara penempatan yang dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.8 meter ialah Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol, Kampung Putat Tujuh, Kampung Kusar dan Kampung Lachang, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata pihaknya membuat tinjauan berkala selama 24 jam terutama di kawasan yang dilanda banjir selain memberi nasihat kepada penduduk supaya bersedia untuk berpindah.
"Jika hujan berterusan, dijangkakan akan ada beberapa penempatan lagi yang turut dinaiki air. Justeru, pihak kami sudah bersiap siaga untuk melakukan misi membantu dan menyelamat penduduk yang terbabit.
"Mereka yang tinggal berdekatan sungai atau kawasan rendah juga dinasihatkan peka dengan paras air selain mengambil langkah awal untuk berpindah terutama bagi yang tinggal di penempatan yang sukar untuk diakses masuk," katanya dihubungi, hari ini.
Shapawi berkata, pekan Rantau Panjang masih bebas banjir dengan semua jalan masuk masih boleh dilalui dan bah yang berlaku hanya di kawasan perkampungan sahaja.
"Mengikut pengalaman tahun sebelum ini, gelombang pertama bukanlah banjir yang besar tetapi kami sebagai anggota bomba sentiasa bersedia kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dan tidak dapat dijangka," katanya.
KUALA TERENGGANU: Seramai 228 mangsa banjir masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini sehingga jam 8 pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Marang mencatatkan mangsa teramai iaitu 191 orang manakala Dungun 37 orang.
Empat PPS masih dibuka di Marang iaitu di SK Simpang Rawai, terdiri daripada 82 mangsa daripada 22 keluarga manakala Dewan Sivik Wakaf Tapai, terdapat 20 mangsa daripada enam keluarga.
Di Dewan Sivik Merchang, hanya lapan mangsa daripada dua keluarga dan SK Pengkalan Berangan, 81 mangsa daripada enam keluarga.
Di Dungun, dua PPS masih dibuka iaitu di Balairaya Alor Mak Bah, menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, menempatkan 27 mangsa daripada lima keluarga.
Laman web public InfoBanjir memaklumkan Sungai Chalok di Jambatan Chalok Setiu (F2) melepasi bacaan amaran 8.73 meter berbanding 8 meter.
Dua sungai berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1) dengan bacaan 2.11 meter berbanding 2 meter.
Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu, mencatatkan bacaan 11.98 meter berbanding 10.5 meter.
KOTA BHARU: Tiga sungai utama di Kelantan melepasi paras amaran setakat pagi ini.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai berkenaan adalah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 8.62 meter (m) berbanding paras amaran 8m.
Sungai Melor di Jambatan Melor juga melebihi paras amaran dengan bacaan 8.06m berbanding paras amaran 8m dan Sungai Semerak di Pasir Puteh dengan bacaan 2.42m berbanding paras amaran 2m.
Sementara itu, Sungai Golok di Kuala Jambu melepasi paras berjaga-jaga iaitu dengan bacaan 2.05m berbanding 0.70m.
Selain itu, semua sungai lain direkodkan berada pada paras normal. Dalam pada itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Bachok.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor menempatkan 40 mangsa daripada 11 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan hujan menyeluruh akan berlaku di seluruh negeri bermula hari ini sehingga Jumaat depan.
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir di Kelantan dengan kawasan rendah di sekitar Sungai Golok di Rantau Panjang dijangka dinaiki air.
Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) serta status aras air sungai diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya, diramalkan banjir akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.
Antara lokasi yang terlibat ialah kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer (km) di sekitar Sungai Golok di Rantau panjang iaitu Kampung Kubang Rambutan, Kampung Tok Deh, Kampung Tersang, Kampung Baroh Pial, Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Siput, Kampung Kedai Lama, Kampung Lubok Gong, Kampung Kok Pauh dan Kampung Tok Rusa.
Lokasi lain termasuk Kampung Banggol Sepuleh, Kampung Kalor, Kampung Lanchang, Kampung Gual Nibung, Kampung Banggul, Kampung Padang Licin, Kampung Serongga, Kampung Tok Derpah dan Kampung Gual Periok.
Menurut kenyataan itu, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan di kawasan berkenaan.
Amaran itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan dijangka banjir lebih berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicinfoBanjir bagi mendapatkan maklumat lanjut.- BERNAMA
KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan membabitkan 44 individu ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS).
Semua mangsa daripada 12 keluarga kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok.
Menurut portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras amaran.
Tiga lagi sungai melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Melor di Jambatan Melor Bachok, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat.
Semalam, JPS mengeluarkan amaran banjir di Kelantan dengan kawasan rendah di sekitar Sungai Golok di Rantau Panjang dijangka dinaiki air.
Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta status aras air sungai diramalkan menaik dan akan melebihi aras bahaya, diramalkan banjir akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini.
