KOTA BHARU: Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah telah melepasi paras bahaya dengan ketinggian 25.15 meter (bahaya 23.50 meter) setakat 2.30 petang ini.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati, Sungai Golok di Rantau Panjang juga meningkat kepada 8.41 meter berbanding 8.27 meter pagi tadi iaitu melepasi paras amaran lapan meter.
Selain itu, paras air di Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja berada pada paras normal.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi meramalkan Monsun Timur Laut yang telah bermula dari 5 Nov lepas hingga Mac 2025 dengan jangkaan lima hingga tujuh episod hujan lebat berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. — BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), menegaskan bahawa isu banjir tahunan dan krisis bekalan air di Kelantan memerlukan penyelesaian segera.
Beliau menyeru Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA)mempercepatkan pelaksanaan projek pengurusan banjir dan meningkatkan kecekapan bekalan air di Kelantan.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu, banjir di kawasan Pasir Mas semakin membimbangkan, terutama menjelang musim tengkujuh.
Beliau menjelaskan bahawa, lebih 50 peratus kawasan itu dijangka menerima limpahan air dari Selatan Thailand dalam tempoh tiga minggu akan datang jika tiada langkah mitigasi diambil.
“Inilah yang kami hadapi setiap tahun iaitu apabila berlaku sahaja musim tengkujuh, kami menerima limpahan air daripada Thailand.
“Saya ingin bertanya kepada PETRA, walaupun mungkin ia juga berkait dengan kementerian lain, berkenaan dengan projek tebatan banjir ataupun projek lembangan sungai bersepadu,
“Bilakah ia akan dapat disiapkan sepenuhnya dalam usaha untuk menghalang limpahan air daripada Thailand khususnya untuk melimpah ke Malaysia sepertimana yang ada pada hari ini?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Ahmad Fadhli turut mendesak perhatian serius terhadap masalah air tidak berhasil (NRW) dan bekalan air di Kelantan.
Beliau meminta Timbalan Menteri menyatakan pelan konkrit yang boleh diumumkan di Dewan Rakyat untuk menyelesaikan isu berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/11/2024
MIRI: Hujan lebat yang turun berterusan sejak petang hingga ke malam tadi telah menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terjejas adalah di sekitar kawasan pusat bandar iaitu di Jalan Brooke, stesen minyak Bukit Kanada, Taman Lopeng Jaya berhampiran Hospital Miri, Jalan Tanjong Lobang serta beberapa kawasan rendah yang lain.
Banjir kilat itu telah menyebabkan kesesakan lalu lintas dan ada kereta yang terkandas.
KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak seminggu lalu semakin memulih dengan mangsa terjejas kini cuma tinggal 55 orang.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa banjir terjejas berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Marang.
“Seramai 43 mangsa daripada 11 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai.
“PPS Dewan Sivik Merchang pula mempunyai 12 mangsa daripada tiga keluarga,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun telah pulih sepenuhnya daripada banjir dengan 10 mangsa yang sebelum ini berada di PPS Balai Raya Alor Mak Bah telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang semalam.
Beliau berkata, cuaca kebanyakan kawasan di Terengganu hari ini diramalkan mendung. – KOSMO! ONLINE
KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 36 orang susulan penutupan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Bachok hari ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, lapan buah keluarga yang masih terjejas banjir ketika ini berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, Rantau Panjang.
“Seramai 80 orang mangsa berada di dua PPS di dua daerah setakat pukul 7 pagi tadi. Kini, hanya tinggal 36 mangsa yang masih berlindung di sebuah PPS di Rantau Panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang semakin menurun, namun menunjukkan bacaan amaran.
Menurutnya, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kembali kepada paras berjaga-jaga.
Tambahnya, sungai-sungai utama di Kelantan masih menunjukkan bacaan normal. – KOSMO! ONLINE
