PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Utamakan keselamatan nyawa, kebajikan mangsa banjir

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak bahawa keselamatan nyawa dan kebajikan rakyat di kawasan yang terjejas banjir, perlu menjadi keutamaan ketika bencana itu melanda sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Susulan keutamaan itu, Perdana Menteri mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh MTL melanda sejak 5 November lalu hingga Mac tahun depan.

Dalam makluman di Dewan Rakyat semalam, beliau memberitahu, banjir yang sedang melanda enam negeri ketika ini, menyaksikan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi, berbanding Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan Perak.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, NADMA dan seluruh jentera termasuk kerajaan negeri yang memberi kerjasama persiapan lebih baik tahun ini,” katanya.

Sementara itu, mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing, Perdana Menteri turut memutuskan menangguhkan dahulu program beliau yang dijadualkan berlangsung di Tasik Kenyir, Terengganu pada hujung minggu ini.

“Sempat ketemu Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) usai sesi soal jawab di Parlimen tadi, untuk berbincang terkait program kami di Tasik Kenyir hujung minggu ini. Mengambil kira situasi banjir terkini yang kian meruncing di Terengganu, saya memutuskan untuk menangguhkan dahulu rencana itu.

“Saat ini, kepedulian terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan bencana ini menjadi keutamaan dan perlu diuruskan sebaiknya. Moga mangsa banjir di semua negeri terbabit terus tabah dalam menghadapi musibah ini,” katanya menerusi aplikasi Telegram.

Bencana dijangka lebih buruk

Sementara itu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan bencana banjir di Putrajaya, petang semalam, Ahmad Zahid berkata, tahap kesiapsiagaan jentera kerajaan di semua peringkat kini dipertingkatkan ke tahap tertinggi, memandangkan bencana itu dijangka lebih buruk berbanding kejadian pada 2014.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata 82,794 pegawai dan anggota diatur gerak bagi menghadapi banjir di beberapa negeri terjejas khususnya di Pantai Timur.

Katanya, kerajaan mengenal pasti 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung 2.1 juta mangsa di seluruh negara bagi menghadapi MTL kali ini.

“Di Kelantan, kita ada 448 PPS boleh menampung 175,000 orang, manakala Terengganu mempunyai 749 PPS untuk menampung kira-kira 214,000 mangsa.

“Jadi dalam keadaan (banjir) yang begitu, kerjasama semua pihak sudah dimobilisasikan (memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa banjir),” katanya

Ahmad Zahid berkata, pelbagai aset pasukan keselamatan turut digerakkan, antaranya 2,031 bot penyelamat, 1,399 kenderaan pacuan empat roda serta 31 buah helikopter.

Beliau turut mengarahkan semua agensi dan jabatan kerajaan menangguhkan segala mesyuarat atau kursus di Kelantan dan Terengganu yang kini dilanda banjir.

“Ini adalah bagi mengelakkan daripada mereka juga terkena bencana dan kita memohon agar hotel yang menjadi tempat penginapan diberikan keutamaan kepada pegawai dan anggota penyelamat tahun ini,” katanya.

Mengenai situasi banjir di Kelantan, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah berhubung dengan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, bagi melancarkan operasi mengkoordinasikan

banjir membabitkan Kerajaan Pusat dan negeri.

“Setakat ini, Kelantan adalah kawasan yang paling terjejas akibat banjir dengan daerah paling teruk adalah Pasir Mas dan Tanah Merah. Oleh itu, kombinasi kerjasama antara semua pihak amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan dibabitkan dalam usaha menghadapi banjir, memandangkan mereka memiliki pelbagai kemahiran yang dapat membantu, terutama di PPS.

Beliau berkata, tempat yang tidak didaftarkan sebagai PPS dibenarkan untuk dibuka sebagai penempatan sementara atas budi bicara pegawai daerah, bagi memastikan kebajikan setiap mangsa banjir terjaga.

“Sekiranya ada kawasan yang tidak dijangka dilanda banjir dan tiada PPS, kita benarkan tempat itu dibuka bergantung kepada kriteria yang diguna pakai oleh pengerusi jawatankuasa bencana pada peringkat daerah,” katanya.

Terdahulu dalam jawapan di Parlimen, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memaksimumkan 774 Fasiliti Penyimpanan Bantuan Bencana di seluruh negara pada September dan Oktober lalu sebagai persediaan menghadapi MTL tahun ini.

Katanya, dua jenis bantuan bencana turut disediakan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan disalurkan oleh NADMA kepada semua negeri iaitu Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Wang Ihsan Kematian.

“Bantuan Wang Ihsan ialah sumbangan RM1,000 untuk ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di PPS, manakala Bantuan Wang Ihsan Kematian ialah sumbangan RM10,000 untuk waris kepada mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.

“Sekiranya berlaku banjir besar di luar jangka, NADMA bersedia untuk menyalurkan peruntukan tambahan mengikut permohonan oleh negeri berdasarkan jumlah sebenar ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana,” katanya.

Mengulas mengenai calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2 Disember ini hingga 6 Februari depan, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengeluarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu semua calon berkenaan jika mereka terjejas banjir.

“Saya juga minta mangsa banjir untuk memantau anak ketika musim banjir ini,” katanya yang memberi jaminan, keselamatan sempadan negara berada pada tahap tertinggi walaupun beberapa negeri sedang dilanda banjir dengan kawalan tetap berjalan seperti biasa membabitkan penugasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Amaran hujan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu dan Pahang

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang diramalkan berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin, hingga esok.

"Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka melanda Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).

"Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dikeluarkan bagi Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah, hingga esok," kata MetMalaysia dalam kenyataan.

Bilangan penduduk terjejas akibat banjir di enam negeri dilaporkan meningkat apabila 35,426 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi tadi.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 305 PPS telah dibuka di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Johor dan Perak.

Kelantan mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 29,113 orang yang ditempatkan di 305 PPS di sembilan daerah iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Ia menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 12,526 mangsa banjir di Kelantan, berbanding petang semalam.

Jumlah mangsa banjir juga meningkat di Terengganu, daripada 1,851 semalam kepada 5,906 pada 8 pagi tadi. Mereka ditempatkan di 144 pusat perlindungan di enam daerah.

Keadaan juga bertambah buruk di Kedah dan Perlis, yang masing-masing mencatatkan seramai 180 dan 179 orang mangsa.

Di Perak dan Johor, jumlah mangsa banjir masing-masing kekal 20 dan 28 orang.

Banjir: Tak perlu isytihar darurat di Kelantan

Kota Bharu: Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana banjir di Kelantan berikutan keadaan banjir masih terkawal.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) (Pengurusan) Datuk Ab Pattah Hasbullah, berkata darurat hanya akan diisytiharkan sekiranya situasi banjir tidak terkawal dan semakin memburuk.

"Masih terlalu jauh untuk menentukan ke arah pengisytiharan darurat. Untuk isytihar darurat memerlukan banyak proses iaitu kita mengadakan mesyuarat bencana di peringkat negeri.

"Dalam mesyuarat kita berbincang dan akan maklum kepada Menteri Besar Kelantan situasi semasa sebelum dibawa ke peringkat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Nadma pula akan memaklumkan situasi semasa kepada Perdana Menteri untuk menentukan sama ada perlu darurat atau tidak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun 10 daerah di Kelantan terjejas banjir namun ia masih terkawal kerana pelbagai persiapan bencana sudah diatur daripada awal.

"Peristiwa bah kuning pada 2014 kita isytihar darurat kerana waktu itu paras ketinggian air di Tangga Krai mencecah 34.1 meter.

"Namun paras sungai di kawasan itu hanya berketinggian 10 meter dan jauh lagi daripada paras bahaya.

"Ketika ini memang ada beberapa sungai di Kelantan mencecah paras bahaya tetapi masih dalam kawalan dan jauh lagi daripada tragedi bah kuning 2014.

"Apabila sesuatu darurat diisytiharkan segala aset-aset dan peruntukan akan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Ditanya mengenai siren yang dibunyikan di Menara Tinjau Tambatan Diraja, Ab Pattah berkata siren berkenaan mengalami gangguan teknikal.

"Orang ramai diminta tidak panik dan membuat sebarang spekulasi," katanya.

 

Laluan ke Rantau Panjang dari Jambatan Lubok Jong ditutup

PASIR MAS: Pihak polis Pasir Mas menutup laluan menghala ke Rantau Panjang bermula dari Jambatan Lubok Jong mulai petang ini.

Laluan itu ditutup kepada semua jenis kenderaan kecuali pengangkutan milik pasukan penyelamat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pasir Mas menerusi laman Facebook memohon kerjasama daripada semua pihak untuk patuh kepada arahan semasa.

“Jangan merumitkan lagi keadaan supaya pihak pasukan penyelamat dapat melaksanakan tugas tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang semakin meningkat kepada 11.63 meter (m) sehingga jam 2 petang iaitu melebihi paras bahaya 9m.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang kini mencecah 13,539 mangsa yang berada di 44 PPS.

Paras air Sungai Golok itu jauh lebih tinggi jika dibandingkan banjir bah kuning pada 2014 hanya merekodkan bacaan 10.84 m saja.

 

Operasi tren KTMB di Pantai Timur terjejas akibat banjir

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan Perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas susulan keadaan banjir dan tanah mendap di beberapa kawasan yang menjejaskan operasi tren penumpang.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha, berkata setakat hari ini kawasan yang dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel adalah di KM493 hingga KM490.85 iaitu antara Pasir Mas dan Tanah Merah.

Katanya, perkhidmatan KTM Intercity untuk perjalanan ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral ke Tumpat dibatalkan mulai malam tadi.

“Hari ini perkhidmatan tren yang turut terjejas adalah Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 bagi laluan laluan JB Sentral-Tumpat-JB Sentral dan Shuttle Timuran laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Tumpat akibat ditenggelami banjir.

“Perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang dan kami akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi penumpang yang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, KTMB akan memberikan pemulangan tambang penuh.

Katanya, pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan secara berterusan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan di media sosial rasmi KTMB.

“Sebagai langkah responsif, KTMB mengaktifkan bilik gerakan banjir serta merta di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren serta memberikan kemas kini situasi yang berlaku.

“Bagaimanapun, langkah persediaan KTMB bukan sahaja tertumpu kepada operasi pergerakan tren ketika banjir, tetapi turut membabitkan pelan bantuan kepada mangsa banjir di stesen KTMB.

“Usaha ini bertujuan memastikan bantuan dapat disalurkan secara sistematik, pantas dan berkesan,” katanya.

Selain itu, Mohd Zain berkata, KTMB menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Katanya, keutamaan turut diberikan kepada lokasi-lokasi yang kerap terjejas akibat banjir.

“KTMB juga terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan seperti Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan tindakan penyelamatan dan pengurusan insiden dapat dilaksanakan dengan efisien.

“KTMB juga menggerakkan aset-aset kritikal seperti troli rel untuk memantau paras air di sepanjang laluan utama dan lokasi-lokasi yang berisiko tanah runtuh.

“Pelbagai peralatan tambahan untuk kegunaan semasa banjir juga disediakan, termasuk peralatan keselamatan, komunikasi dan bantuan kecemasan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200; layari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB untuk informasi terkini.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search