Johor Bahru: Penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor berkurang sedikit daripada 7,324 orang daripada 2,062 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 7,341 orang daripada 2,046 keluarga pada 9 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hanya di Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat, manakala Kluang dan Johor Bahru semakin berkurang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kulai, Segamat dan Pontian pula tidak berubah.
"Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi terus meningkat daripada 4,652 orang membabitkan 1,257 keluarga pada malam tadi kepada 4,707 orang daripada 1,289 keluarga.
"Semua mangsa banjir di Kota Tinggi kini ditempatkan di 26 PPS di daerah berkenaan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Azmi, jumlah mangsa banjir di Kluang pula berkurang daripada 1,613 orang daripada 495 keluarga malam tadi kepada 1,601 orang daripada 494 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di 13 PPS.
"Di Johor Bahru, seramai 840 mangsa daripada 233 keluarga pula kini ditempatkan di lima PPS.
"Jumlah mangsa banjir di Kulai kekal 86 orang daripada 23 keluarga di satu PPS, Segamat juga tidak berubah dengan 73 orang mangsa daripada 20 keluarga di tiga PPS dan Pontian mencatatkan mangsa yang tidak berubah seramai 17 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di satu PPS," katanya.
Pusat Bandar Kota Tinggi lumpuh
- Admin UKK
- Berita
KOTA TINGGI: Pusat Bandar Kota Tinggi semalam lumpuh apabila dinaiki air lebih satu meter berikutan keadaan banjir sejak malam semalam. Keadaan semakin buruk apabila berlaku pertembungan antara banjir dan fenomena air pasang penuh. Malah, Jalan Semanggar menuju ke kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tun Habab juga tidak boleh dilalui berikutan air berarus deras yang membanjiri…
JOHOR BAHRU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di 33 lokasi sekitar daerah Kota Tinggi yang kini teruk terjejas banjir, sejak kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata bagaimanapun setakat jam 8 malam tadi, bekalan elektrik di lima lokasi telah pulih sepenuhnya.
Beliau berkata, bekalan elektrik di Johor Bahru yang ditutup di tiga lokasi juga telah pulih sepenuhnya.
"Sebelum ini, Kampung Paya Kenangan, Taman Ulam Raja dan Sekolah Kebangsaan (SK) Maju Jaya di Johor Bahru telah ditutup bekalan elektrik, namun telah dipulihkan sepenuhnya pada petang tadi," katanya ketika dihubungi, di sini.
Sementara itu, menurut notis dikeluarkan TNB dalam Facebook TNB Careline, bekalan elektrik di beberapa kawasan telah disambung semula setelah air surut.
Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi pepasangan elektrik yang terendam dalam banjir, kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus elektrik.
Banjir: Kerjasama jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sangat dituntut - PM Anwar
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara semua jentera Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sangat dituntut dalam menghadapi musibah banjir termasuk di Kelantan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Alhamdulillah, kerjasama kedua-dua pihak ketika ini telah menjadikan proses membantu mangsa banjir berjalan lancar demi keselesaan rakyat," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook malam ini.
Perdana Menteri berkata, beberapa projek baharu turut diumumkan dalam lawatannya ke Pasir Mas hari ini sebagai langkah mengatasi masalah banjir iaitu meluluskan pembinaan benteng sementara bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.
Selain itu, kerajaan Kelantan bersetuju menyegerakan proses pengambilan tanah bagi projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 serta proses perolehan bagi lima projek baharu tebatan banjir di Kelantan bernilai RM910.52 juta akan dimulakan tahun depan.
"Moga segala dirancang ini bermanfaat dan membantu menyelesaikan masalah banjir yang berlaku," katanya.
PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan akan terus memantau situasi banjir di Kelantan dengan rapi dan memastikan mangsa banjir mendapat tempat berteduh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pihaknya juga akan berusaha mengatasi kesan buruk musibah banjir.
"Usai tiba di Kota Bharu, Kelantan, saya langsung diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan terkini situasi banjir dan pengoperasian pasukan keselamatan kita.
"Sambil diapit Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, taklimat itu juga memperincikan masalah yang dihadapi, cabaran operasi, status mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) selain pemberian bantuan kepada yang terkesan dengan bencana banjir.
"Agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat bagi memastikan urusan kebajikan mangsa banjir yang diberi keutamaan pada setiap masa," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Katanya, beliau turut melawat Jambatan Lubok Jong, di sini, bagi melihat sendiri kesan banjir dan langkah untuk mengatasi masalah banjir di kawasan itu..
"Dalam lawatan ini juga saya singgah PPS di SMKA, Kampung Banggol Manok untuk mendengar sendiri masalah dihadapi mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah berkenaan," katanya.